Sabtu, 17 Februari 2018 | 7:15pm

Budu jadi hidangan buat pengantin Korea

MACHANG: Majlis perkahwinan yang bertemakan tradisional di negeri ini, sudah pasti juadahnya juga dihidangkan menu tradisi termasuk budu.

Ketika resepsi Muhamad Khalid Ismail, 30, bersama pasangannya, wanita dari Korea Selatan, Lee Seul, 29, di bangunan Perpustakaan Al-Fateh di sini hari ini, budu turut dihidangkan sebagai pelengkap hidangan nasi berlaukkan daging singgang, ayam goreng dan pelbagai jenis ulam.

Bagaimanapun Lee Seul atau mesra disapa Anna, kelihatan tidak kekok menikmati budu yang dimakan dengan ulam sambil ditemani suaminya.

Ketika ditanya bagaimana rasanya (budu), Anna menyifatkan perencah tradisi masyarakat Kelantan itu agak sedap kerana terasa seperti ikan (bilis) walaupun sedikit masin.

Muhamad Khalid berkata, isteri yang dinikahinya sejak April tahun lalu, belajar makan budu sejak beberapa bulan lalu, malah mereka mempunyai bekalan budu di kediaman dekat bandar Gunpo, Gyeonggi, Korea Selatan.

"Sedikit demi sedikit Anna belajar untuk menyesuaikan diri dengan budaya Melayu khususnya Kelantan.

"Bukan sahaja suka budu, Anna juga mula mahir makan dengan tangan dan proses itu dipelajari dalam tempoh seminggu iaitu ketika pulang pada Jumaat minggu lalu sempena majlis resepsi ini," katanya.


MUHAMAD Khalid Ismail, bersama pasangannya, Lee Seul, menjamu selera dengan juadah tradisi termasuk budu di majlis resepsi pasangan terbabit yang diadakan di perkarangan Perpustakaan Al-Fateh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Sempena majlis resepsi itu, pasangan mempelai mengenakan busana songket berwarna hijau dan Anna sendiri memakai tudung yang menyerlahkan lagi keanggunannya.

Muhamad Khalid berkata, idea asal mereka sekadar mahu mengenakan persalinan Melayu moden, namun apabila melihatkan lokasi majlis yang ditaja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Zulkifli Mamat, yang bercirikan tradisional, idea itu ditukar kepada busana songket.

"Ketika majlis perkahwinan kami di Korea pada Oktober tahun lalu, keluarga mentua saya sudah menganjurnya dengan tema tradisional Korea. Apa salahnya kami membalas dengan budaya bercirikan tradisional Melayu.

"Bukan hanya kami sekeluarga, bapa mentua serta abang ipar saya turut memakai baju Melayu, manakala ibu mentua berkebaya demi meraikan majlis ini," katanya.

MAJLIS perkahwinan, Muhamad Khalid Ismail, 30 bersama pasangannya, seorang wanita dari Korea Selatan, Lee Seul, 29, di majlis resepsi pasangan terbabit yang diadakan di perkarangan Perpustakaan Al-Fateh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
MAJLIS perkahwinan, Muhamad Khalid Ismail, 30 bersama pasangannya, seorang wanita dari Korea Selatan, Lee Seul, 29, ketika diarak bersama ahli keluarga di majlis resepsi pasangan terbabit yang diadakan di perkarangan Perpustakaan Al-Fateh. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X