Ahad, 18 Februari 2018 | 10:20am

Pindaan akta lindungi semua pihak

BARU-BARU ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata draf perincian rang undang-undang berita palsu dijangka dikemukakan ke Kabinet selepas Tahun Baharu Cina, sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan.

Antara diperincikan ialah definisi berita palsu dan hukuman sesuai kepada penyebarnya.

Wartawan BH Ahad, Mohd Azrone Sarabatin mewawancara Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Dr Mazlan Ismail mengenai kepentingan undang-undang berita palsu di negara ini.

S: Perlukah masyarakat takut dengan penggubalan undang-undang berita palsu?

J: Sebenarnya tiada apa yang perlu dibimbangi kerana akta ini digubal untuk melindungi masyarakat daripada ancaman berita palsu yang kini semakin menjadi-jadi dan perlu dibendung segera.

Kalau kita menulis dan menyebarkan perkara benar melalui media sosial atau konvensional, tidak perlu takut. Pepatah Melayu mengatakan 'berani kerana benar, takut kerana salah', justeru tak perlu takut kalau kita tak buat salah.

Undang-undang baharu ini sebenarnya untuk melindungi semua pihak sama ada individu, keluarga, anggota masyarakat mahupun ahli politik agar tidak menjadi mangsa penyebaran fitnah dan sesuatu yang mengaibkan.

Insya-Allah akta ini dapat menyekat penyebaran berita palsu, kalau pun tidak dapat mengatasi sepenuhnya, ia dapat mengawal daripada menggugat ketenteraman awam, mengancam kestabilan negara. Sudah sampai masanya kita menggunakan akta khususnya untuk menyekat berita palsu apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari ketika ini.

S: Adakah akta sedia ada belum cukup kuat untuk menghukum pesalah?

J: Ketika ini mengikut Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang yang menggunakan internet atau telefon untuk menyebar berita palsu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, akta ini sudah lama dan perlu dipinda semula sejajar dengan perkembangan semasa. Begitu juga pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, seseorang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Bagi pandangan peribadi saya, denda RM50,000 ini masih kecil dan tidak menggerunkan penyebar berita palsu. Jumlah itu sewajarnya dinaikkan kepada RM500,000. Begitu juga penjara setahun dinaikkan sehingga sembilan kali ganda, misalnya kepada 10 tahun. Ini tidak lain sebagai pengajaran supaya masyarakat kita tidak sewenang-wenangnya menyebar berita tidak benar.

Hukuman denda kecil dan tempoh penjara terlalu singkat ketika ini menyebabkan penyebar berita palsu tidak gentar, mereka mengulangi perbuatan terkutuk ini.

S: Pihak berkuasa mana yang akan menguat kuasa undang-undang ini?

J: Penguatkuasaan bukan sahaja terletak di bawah kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semata-mata tetapi juga membabitkan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).

S: Adakah ini tidak menyekat atau menggugat hak dan kebebasan bersuara?

J: Dalam konteks ini, tiada siapa yang disekat bersuara selagi ia tidak bercanggah dengan lunas undang-undang kerana negara kita mengamalkan kebebasan bersuara sejajar amalan demokrasi. Namun, benda atau nilai buruk yang perlu dielak, ada baiknya kita elak. Ini bukan main lagi, menulis sehingga mengancam perpaduan dan sanggup berbohong demi kepentingan sendiri sehingga terlupa ia menggugat dan menganiaya pihak lain.

Contohnya, ada kes orang masih hidup tapi berita kematiannya sudah tersebar luas di media sosial. Bayangkan apa perasaan pihak yang teraniaya. Justeru, jangan terlalu ghairah menyebar berita tidak benar, diragui kesahihannya.

Dalam agama Islam pun melarang umatnya menyebarkan berita berunsur fitnah, tidak betul dan tiada kesahihan. Mungkin sebab itulah ada syurga dan neraka, untuk menilai kebaikan dan keburukan. Malaysia negara yang terkenal dengan perpaduan kaum, namun penyebaran berita palsu boleh menggugat perpaduan kerana perkara kecil akan dimanipulasi sehingga menjadi kes besar.

S: Dari aspek kebebasan media pula, adakah media akan menerima kesan negatif susulan penguatkuasaan akta ini?

J: Sama ada media sosial atau media konvensional dan penyiaran, mereka tidak terkecuali daripada dikenakan tindakan sekiranya terbukti menyebarkan berita palsu. Syarikat penerbitan atau pengamal media tidak akan dikenakan tindakan sewenang-wenangnya jika mereka mengamalkan etika kewartawanan dan tidak melanggar undang-undang.

Sebenarnya, sebelum ini sudah ada undang-undang berkaitan berita palsu, tapi masih belum cukup untuk menghukum pesalah. Oleh itu ia perlu dipinda untuk membendung penyebaran maklumat yang menjurus kepada fitnah. Ini bermakna, memang ada undang-undang sedia ada, cuma ia perlu dimantapkan lagi supaya sesuai dengan perkembangan semasa. Media sewajarnya menggunakan pengaruhnya ke arah kebaikan dan bukan mengikut jejak segelintir pemain media sosial yang sewenang-wenangnya menyebarkan berita tidak berasas.

S: Pemimpin dan parti pembangkang menuding jari kononnya akta ini hanya untuk melindungi kerajaan menjelang pilihan raya umum. Apa pandangan Datuk?

J: Ini adalah undang-undang untuk kepentingan negara, bukannya untuk menjaga kepentingan sesiapa, atau menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14) seperti didakwa pihak tertentu. Undang-undang ini tiada kena mengenai dengan PRU-14. Jangan buat sebarang spekulasi untuk menghalang akta ini daripada dibentang dan diluluskan di Parlimen kerana ia untuk kepentingan rakyat.

Berita palsu ini umpama 'bom jangka' yang akan meletup bila-bila masa. Bukan sahaja di Malaysia, malah berita palsu tersebar di seluruh dunia dan ia satu ancaman. Negara lain pun sudah ada undang-undang khusus untuk membendungnya. Sebab itulah sebelum dibentangkan, definisi berita palsu dan hukuman yang sesuai kepada penyebar berita palsu perlu diteliti terlebih dahulu.

Berita Harian X