Ahad, 18 Februari 2018 | 11:24am
TAN Sri Mohamad Fuzi Harun (dua kiri) bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim (kiri) melepaskan anggota polis yang mengikuti Program Kembara Bermotorsikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) di Pulapol Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

TAN Sri Mohamad Fuzi Harun (tengah) bersama sebahagian daripada anggota polis sempena Program Kembara Bermotorsikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) di Pulapol Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Hari Polis: Sasaran kutipan sumbangan lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Penganjuran kali kedua Program Kembara Bermotosikal Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) sempena Hari Polis ke-211 disasarkan mendapat kutipan dana lebih tinggi berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Muhamad Fuzi Harun, berkata jumlah sumbangan yang banyak akan membolehkan lebih ramai penerima yang terdiri daripada pesara dan ahli keluarga mereka menerima sumbangan berkenaan.

"Tahun lalu, kami memberi sumbangan kepada lebih 1,000 penerima yang berjumlah RM1.3 juta daripada TAWP.

"Sumbangan yang diberikan kepada mereka dalam pelbagai bentuk termasuk bantuan khairat kematian, bencana dan kerusi roda bagi yang layak.

"Kami harap dalam program ini, jumlah dana yang dikutip akan meningkat bagi membolehkan sumbangan disalurkan kepada lebih ramai penerima sempena sambutan Hari Polis ke-211 yang berlangsung pada 25 Mac nanti," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melepaskan 50 penunggang motosikal yang terdiri daripada pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam program berkenaan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Program berkenaan yang berlangsung selama tiga hari akan menjelajah ke Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan membabitkan perjalanan sejauh 1,103 kilometer bagi mengutip dana bagi tabung berkenaan.

Jelajah itu bermula dari Kuala Lumpur ke Tanjung Karang, Selangor menuju ke Hutan Melintang, Ipoh di Perak; Cameron Highland, Kuala Lipis; Pahang dan Seremban, Negeri Sembilan sebelum berpatah balik ke ibu negara.

Muhamad Fuzi berkata, pegawai polis yang terbabit dengan program itu juga akan mengadakan program bersama komuniti setempat bagi menjelaskan mengenai faedah diperolehi dalam memberikan sumbangan terhadap tabung berkenaan.

"Kami mengalakkan sumbangan daripada orang awam dalam usaha meningkatkan jumlah penerima pada tahun ini sekali gus membantu golongan pesara PDRM dan ahli keluarga mereka yang memerlukan.

"Pada masa yang sama, program ini secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara PDRM dengan masyarakat setempat," katanya.

Berita Harian X