Ahad, 18 Februari 2018 | 2:26pm
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Majlis Santai Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) / Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bagan Datuk dan Hilir Perak di Balai Polis Hutan Melintang hari ini. - Foto BERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di Majlis Santai Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) / Kementerian Dalam Negeri (KDN) Bagan Datuk dan Hilir Perak di Balai Polis Hutan Melintang hari ini. - Foto BERNAMA

Kerajaan sedang teliti 3 elemen utama - Zahid

BAGAN DATUK: Kerajaan sedang meneliti tiga elemen utama sebelum membuat keputusan berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) peristiwa Memali, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, ia membabitkan isu sama ada terdapat arahan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan penembakan sehingga mengakibatkan kematian terhadap penceramah bebas, Ibrahim Mahmud atau dikenali Ibrahim Libya, serta ramai yang lain.

"Elemen kedua ialah berdasarkan kepada arahan dengan harapan ia bukan berunsur politik tetapi berdasarkan kepada soal keselamatan.

"Ketiga, kita mahu melihat jika ada unsur penganiayaan, maka tugas RCI untuk menyiasat siapakah orang yang jadi tokoh penting mengarahkan (tindakan penganiayaan) ini dibuat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bercakap pada sidang media selepas Program Santai Makan Tengah hari Timbalan Perdana Menteri Bersama Bikers PDRM dan Warga PDRM/KDN di Balai Polis Hutan Melintang di sini hari ini.

Peristiwa Memali yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, pada 19 November 1985 menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya sehingga mengorbankan Ibrahim dan 17 yang lain termasuk empat anggota polis, berpuluh lain cedera serta beratus orang ditahan.

Pertempuran itu berlaku dalam Operasi Angkara bagi menahan Ibrahim yang dianggap mengancam keselamatan negara dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Musa Hitam, didakwa bertanggungjawab terhadap operasi itu.

Bagaimanapun, Musa dalam rancangan bual bicara Obviously Harith Iskandar (OHI), tahun lalu, menafikan mengarahkan operasi itu dan mendakwa beliau menjadi 'kambing hitam' dalam tragedi berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata selain tiga elemen utama itu, kerajaan juga meneliti pelbagai aspek dan elemen lain sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Beliau juga akan membawa perkara itu ke Kabinet untuk membuat keputusan mengenai tempoh yang sesuai bagi meneliti semua elemen berkenaan.

Katanya, kerajaan sendiri mahu meneliti perkara itu bukan semata-mata atas desakan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu penubuhan RCI itu dipercepatkan.

Sementara itu, Ahmad Zahid mengumumkan pemberian RM2 juta untuk dana Rayuan Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) menjadikan keseluruhan dana tabung berkenaan sekarang menjadi RM5 juta dan berharap PDRM dapat mencari RM5 juta lagi agar jumlah dana TAWP menjadi RM10 juta.

Berita Harian X