Ahad, 18 Februari 2018 | 3:54pm
Prof Datuk Dr Ismail Sualman - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Hukuman lebih tegas untuk penyebar berita palsu

Jemaah Menteri dijadual membincangkan draf undang-undang berita palsu, sebelum dibentangkan di Parlimen, bulan depan. Perbincangan tertumpu kepada takrif berita palsu dan hukuman yang sesuai kepada penyebar berita palsu. Sesi perbincangan sudah diadakan dengan beberapa pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), wakil media, agensi undang-undang serta pemimpin masyarakat mengenai undang-undang berita palsu itu. Kebanyakannya membangkitkan mengenai definisi berita palsu dan pihak yang dipertanggungjawab untuk menguat kuasa undang-undang berkenaan. Wartawan BH, MOHD AZRONE SARABATIN mewawancara Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Ismail Sualman.

S: Perlukah undang-undang berita palsu?

J: Memang perlu kerana ketika ini banyak berita palsu tersebar, khususnya di media sosial yang jika dibiarkan berleluasa, ia boleh mengancam kestabilan negara, keselamatan masyarakat dan perpaduan kaum.

Cuma yang diperlukan ialah penguatkuasaan undang-undang terhadap akta yang diluluskan. Sesuatu rang undang-undang mengambil masa untuk dibahaskan, namun selepas diluluskan ada yang dikesan gagal dilaksanakan sepenuhnya.

Kita tidak mahu ini berlaku dalam rang undang-undang berita palsu kerana kewujudannya amat tepat pada masanya, ketika masyarakat diganggu gugat dengan penyebaran fitnah dan pembohongan.

Di mana-mana ada fitnah tetapi malangnya undang-undang sedia ada tidak dikuatkuasakan untuk menahan penyebar fitnah dan lebih teruk pihak memulakan penyebaran gagal dikesan.

Apa yang berlaku individu mencetuskan berita berkenaan gagal ditahan. Sebaliknya yang diberkas ialah pihak kedua atau ketiga, bukan penyebar asal berita palsu berkenaan. Faktor ini perlu diambil kira dalam penguatkuasaan undang-undang berita palsu.

S: Setuju dengan pandangan Datuk. Bagaimana Datuk melihat penyebaran berita palsu ketika ini?

J: Agak serius kerana dulu hanya pemimpin negara yang dihina dan dipersenda, tetapi kini, Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja turut dihina dan dicaci khususnya oleh pembangkang.

Kita percaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mampu membendung penyebaran berita palsu ini menggunakan undang-undang sedia ada. Ini terbukti menerusi tangkapan dan pendakwaan di mahkamah yang dikenakan terhadap pelaku. Walaupun masih ada terlepas pandang.

Namun, mungkin kurang berkesan dari segi jumlah denda dan hukuman penjara dikenakan yang masih gagal memberi pengajaran kepada orang lain, untuk menghentikan kegiatan menyalahi undang-undang itu.

Jangan biarkan ia berlarutan dan perlu disekat segera menggunakan undang-undang berita palsu yang lebih tegas dan berkesan. Sekarang adalah masa sesuai untuk melaksanakannya. Bagi saya penguatkuasaan amat penting.

Bila negara kita ada undang-undang baharu, ia perlu dilaksanakan dengan tegas. Jangan nanti undang-undang tinggal undang-undang, dan mereka yang sepatutnya didakwa kerana memfitnah, terlepas begitu saja.

S: Adakah undang-undang sedia ada kurang berkesan?

J: Sebenarnya kita banyak undang-undang yang boleh digunakan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 (disemak 1969), Kanun Keseksaan membabitkan fitnah jenayah serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam konteks ini, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Pencegahan Khas) (SOSMA) 2012 juga boleh digunakan untuk mencegah penyebaran berita palsu.

Undang-undang terlalu banyak pun tidak memberi sebarang makna, sekiranya tiada ketegasan dalam pelaksanaan dan penguatkuasaan. Penguatkuasaan perlu seiring dengan undang-undang diluluskan di Parlimen.

Jika undang-undang sedia ada ini dilaksanakan secara tegas pasti mereka yang gemar menyebarkan fitnah, khususnya menerusi media sosial akan menghentikannya dan pihak lain akan menjadikannya pengajaran.

Saya percaya undang-undang berkenaan mengambil kira kepentingan semua lapisan masyarakat dan fahaman agama serta politik. Siapa pun tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang jika terbukti bersalah.

S: Kesan undang-undang ini terhadap media konvensional?

J: Media konvensional jangan terpengaruh dengan laporan yang menjadi viral di media sosial. Jangan terikut-ikut dengan media sosial yang menyiarkan apa saja tanpa sekatan.

Media konvensional tertakluk kepada Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984, Akta Fitnah 1957 dan Akta Hasutan 1948. Ini undang-undang yang perlu dipatuhi, demi ketenteraman awam.

Malangnya, saya perhatikan ada media arus perdana yang menyiarkan pula berita yang viral di media sosial yang akhirnya terjebak dengan penyebaran berita palsu yang sepatutnya tidak berlaku. Ini seperti mengiyakan perkara tidak benar.

Saya percaya undang-undang berita palsu tidak menjejaskan media konvensional dengan syarat, tidak menyiarkan berita palsu dan berunsur fitnah serta melanggar undang-undang negara.

Penyiaran karikatur menghina Islam yang mulanya dimainkan oleh media sosial misalnya, satu kesalahan berat yang sepatutnya tidak dilakukan oleh media konvensional dan arus perdana.

S: Pembangkang mendakwa undang-undang ini untuk menganiaya mereka?

J: Pihak yang menulis berita ke arah kebaikan tidak akan dikenakan tindakan sewenang-wenangnya. SKMM tidak akan melakukan serkap jarang untuk menyelesaikan sesuatu kes.

Begitu juga dengan pembangkang, tiada tindakan dikenakan jika berita disebarkan adalah benar. Tidak perlu takut melakukan kebaikan. Sebaliknya, jika fitnah disebarkan pastinya tindakan undang-undang akan dikenakan.

Misalnya, penyebaran berita palsu 40,000 pengundi dari Bangladesh dalam pilihan raya lalu, bukan saja menjadi fokus di negara kita, tetapi mendapat perhatian dunia. Seolah-olah negara kita tidak selamat kerana rakyat asing boleh masuk bila-bila dan dipergunakan dalam pilihan raya.

Hanya mereka yang menjadi pencetus kepada berita palsu atau menyebarkan berita fitnah yang akan didakwa. Jangan panik kerana siapa pun bebas bersuara asalkan tidak menggugat kestabilan negara.

Saya percaya, penggubalan undang-undang berkenaan amat tepat pada masanya, berikutan peningkatan aduan berita palsu yang direkodkan SKMM. Ini untuk kebaikan negara.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X