Selasa, 20 Februari 2018 | 1:31pm
PENGARAH SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsuddin Yusof. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

SPRM pantau ahli politik Kelantan terbabit rasuah

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan hari ini, mendedahkan terdapat beberapa ahli politik di negeri ini dipercayai terbabit dengan kegiatan rasuah.

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsuddin Yusof, berkata pihaknya kini sedang memantau ahli politik berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan maklumat itu lebih lanjut termasuk latar belakang ahli politik terbabit.

Sementara itu, seramai lapan pegawai dan kakitangan agensi kerajaan di negeri ini ditangkap kerana terbabit rasuah pada tahun lalu.

Selain itu, katanya, seorang awam juga ditangkap kerana kesalahan sama pada tahun lalu.

"Sembilan mereka ini ditangkap kerana menerima rasuah antara RM500 hingga RM5,000 setiap seorang daripada beberapa individu.

"Tangkapan itu dibuat di beberapa lokasi di negeri ini sejak Januari dan Disember tahun lalu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Moh Samsuddin berkata, bagi tempoh sama, SPRM Kelantan juga merekodkan 201 aduan daripada orang ramai.

Katanya, kebanyakan aduan itu membabitkan mengenai salah laku pegawai kerajaan, diikuti kes membuat tuntutan palsu dan menerima rasuah.

"Daripada 201 aduan yang diterima, kami membuka 14 kertas siasatan, manakala selebihnya adalah kertas penyiasatan awal," katanya.

From: Anwar

Berita Harian X