Selasa, 20 Februari 2018 | 5:37pm

Meriam berkembar 200 tahun, ubah sejarah Fort Cornwallis

GEORGETOWN: Sekumpulan ahli arkeologi dan sejarah daripada Universiti Sains Malaysia (USM), menemui dua meriam berkembar dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun, dalam ekskavasi di tapak arkeologi Fort Cornwallis di sini, semalam.

Pengarah Pusat Arkeologi USM, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin, berkata penemuan terbaharu itu mungkin mengubah sejarah asal Fort Cornwallis yang selama ini dikenali sebagai Kota Keamanan.

"Kedua-dua meriam yang mempunyai simbol GR, ini dipercayai digunakan pada era King George III dan ia juga seperti jenis sama yang kita jumpa di Bukit Bendera.

"Bagaimanapun, berpandukan peta asal Fort Cornwallis pada tahun 1877, ia langsung tidak memberitahu mengenai kewujudan dan kedudukan meriam berkembar ini.

"Justeru, ia menimbulkan tanda tanya mengenai peranan sebenar kubu ini yang lebih dikenali sebagai Kota Keamanan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Meriam yang masing-masing berukuran 2.35 meter dan 2.2 meter itu dijumpai empat ahli arkeologi bersama tujuh pembantu, kira-kira jam 2 petang semalam, di tapak arkeologi seluas lebih 0.4 hektar.

Mengulas lanjut, Dr Mokhtar berkata, pada asalnya pasukan itu melakukan kerja arkeologi bagi mengesan pintu asal Fort Cornwallis, yang dipercayai mempunyai lebih banyak artifak bersejarah.

Katanya, kerja arkeologi yang bermula sejak Ogos tahun lalu itu bagaimanapun masih belum menemui pintu bersejarah berkenaan.

"November lalu kita jumpa peluru meriam, namun dengan saiz yang lebih kecil. Tidak sangka pula kita jumpa dua meriam berkembar ini.

"Susulan penemuan ini, kedua-dua meriam akan dibawa ke USM dalam tempoh terdekat bagi tujuan mengesan lebih banyak data dan maklumat," katanya.

DUA meriam dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun yang ditemui ahli arkeologi dan sejarah Universiti Sains Malaysia (USM) di tapak arkeologi Fort Cornwallis. Meriam berlainan saiz yang berukuran 2.35 meter dan 2.2 meter itu turut mempunyai simbol GR ini dan dipercayai digunakan pada era King George III. - Foto Danial Saad
Berita Harian X