Selasa, 20 Februari 2018 | 11:52pm

Kerja meroboh Tol Batu Tiga bermula

SHAH ALAM: Kerja merobohkan Plaza Tol Batu Tiga di sini, bermula malam ini dengan sebahagian daripada struktur fizikal dirobohkan.

Tinjauan mendapati kerja berkenaan membabitkan dua kaunter tol di sebelah kiri dari arah Kuala Lumpur menghala Shah Alam.

Bagaimanapun, perobohan struktur fizikal itu hanya membabitkan lorong kiri dan tidak mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Sebelum ini, banyak pihak terutama pengguna lebuh raya mendesak plaza tol itu dirobohkan selepas berlaku beberapa kemalangan yang meragut nyawa.

Semalam, dua pengguna Lebuhraya Persekutuan menjadi korban struktur fizikal Plaza Tol Batu Tiga, apabila kereta yang dinaiki sepasang sahabat itu hilang kawalan dan merempuh tembok tol jam 12.55 pagi.

Kemalangan maut akibat rempuhan tembok plaza tol itu adalah yang kedua di lokasi itu selepas kemalangan yang meragut nyawa dua sahabat pada 15 Januari lalu.

Di Parit Buntar, BERNAMA melaporkan, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerja meroboh struktur binaan Plaza Tol Batu Tiga akan selesai selewat-lewatnya pada 28 Mac ini.

Katanya, berkata perkara itu dimaklumkan oleh PLUS Malaysia Berhad kepada kementerian.

Katanya, proses pengalihan aset yang antara lain membabitkan peralatan tol dan papan tanda giat dijalankan.

"Sekarang pihak PLUS dalam proses mengalihkan aset mereka dari kawasan itu dan apabila telah sempurna, kerja meroboh struktur bangunan dilakukan.

"Kita turut dimaklumkan bahawa program pengurusan trafik akan dijalankan bagi memastikan aliran trafik tidak terganggu ketika kerja perobohan dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Hospital Parit Buntar, di sini, semalam.

Sebelum ini, banyak pihak terutama pengguna lebuh raya mendesak plaza tol itu dirobohkan selepas berlaku beberapa kemalangan yang meragut nyawa.

Fadillah berkata, pihaknya juga berharap pengguna lebuh raya itu lebih berwaspada dan tidak memandu dalam keadaan berbahaya, sekali gus mengelak daripada berlaku kesesakan dan kemalangan yang boleh meragut nyawa.

"Saya menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati sebab akhirnya yang menentukan kita selamat atau tidak di jalan raya adalah diri kita sendiri.

"Kita kena pandu secara berhemah dan pastikan berjaga-jaga untuk elakkan sebarang kemalangan tidak diingini daripada berlaku," katanya.

SEBAHAGIAN daripada serpihan kaunter tol yang sudah dirobohkan di Plaza Tol Batu 3 Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Berita Harian X