Rabu, 21 Februari 2018 | 2:29pm
DATUK Mohamed Asri Yusof.- Foto Salhani Ibrahim

'PLKN bukan kem percutian'

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) mengakui tempoh dihabiskan sepanjang penyertaan, banyak menyuntik semangat patriotisme dalam jiwa mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Datuk Mohamed Asri Yusof, berkata dapatan itu diperoleh menerusi kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES).

Hakikat itu, katanya, dengan sendirinya menafikan dakwaan kononnya PLKN adalah 'kem percutian' semata-mata.

"PLKN terbukti mampu menyemai semangat patriotisme dalam kalangan anak muda, di samping memberi nilai tambah dari sudut kemahiran masing-masing.

"PLKN melalui fasa transformasi beberapa peringkat bagi tujuan penambahbaikan yang merangkumi kemahiran dan kenegaraan.

"Transformasi dijalankan menerusi kajian makmal dengan mengambil pandangan agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), jurulatih, pelatih dan ibu bapa.

"Kita turut terbuka mendengar cadangan penambahbaikan secara berterusan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JLKN, Kolonel Norsham Md Tap dan Pengerusi Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN), Mohamad Nazrin Faiz Che Abd Aziz.

Mohamed Asri mengulas dakwaan Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) yang sebelum ini mendakwa PLKN lebih cenderung kepada 'kem percutian'.

Beliau berkata, konsep PLKN dilaksanakan secara sukarela dan mempunyai dua fasa.

"Bagi fasa satu, pelatih akan menjalani Program Pembelajaran Bersepadu yang mengandungi lapan modul baharu dalam tempoh lapan minggu dengan bimbingan tenaga pakar.

"Dalam fasa kedua, pelatih diberi pilihan untuk mengikuti latihan bidang kemahiran di institut awam atau swasta antara tiga hingga 36 bulan," katanya.

Katanya, proses transformasi terbabit bertujuan meningkatkan bilangan pekerja mahir, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga mahir dalam kalangan warga asing.

Sementara itu, Mohamad Nazrin Faiz yang juga alumni PLKN, berkata PLKN 2.0 adalah inisiatif baharu kerajaan yang menjadi teras ke arah pembentukan jati diri dan semangat patriotisme dalam kalangan belia.

"Program ini membentuk keyakinan dan nilai tambah kepada diri selain menjadi platform membina kerjaya," katanya.

Berita Harian X