Rabu, 21 Februari 2018 | 3:55pm
MICHELLE Chin Seow Wei (dua dari kanan) bersama Lee Kathryn ketika mencuba aplikasi bertransaksi tanpa tunai di Rimau Cafe, Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya yang dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty. - Foto Mohd Fadli Hamzah

KBS rintis transaksi tanpa tunai

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan inisiatif 'Jom Bertransaksi Tanpa [email protected]' yang menjadi antara pemangkin menyokong agenda nasional negara ke arah merealisasikan masyarakat tanpa tunai.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata inisiatif bersama Digi Telecommunications Sdn Bhd (DiGi) itu membabitkan penggunaan perkhidmatan aplikasi pembayaran tanpa tunai mudah alih 'vcash' di beberapa kemudahan di Menara KBS, di sini.

"Dengan pelaksanaan inisiatif ini, KBS menjadi perintis menggunakan aplikasi 'vcash' sebagai medium pembayaran tanpa tunai untuk beberapa kemudahan di Menara KBS seperti Kafe Rimau, Kafe Teratai dan Gimnasium 1Malaysia KBS.

"Usaha ini mengambil satu daripada aspirasi idea Transformasi Nasional 2050 (TN50) ke arah merealisasikan masyarakat tanpa tunai di Malaysia.

"Seramai 450 kakitangan KBS di sini akan diberi akaun 'vcash' yang boleh digunakan untuk membeli barangan di beberapa tempat yang mempunyai kemudahan itu serta membuat pembayaran yuran gimnasium," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran 'Jom Bertransaksi Tanpa [email protected]' di sini, hari ini.

Aplikasi 'vcash' adalah perkhidmatan pembayaran mudah alih dan revolusi pembayaran tanpa dompet yang disediakan DiGi dan dibangunkan dengan kerjasama Valyou Sdn Bhd, kini sudah boleh dimuat turun secara percuma di App Store dan Google Play.

Pengguna boleh mendeposit wang sama ada dari perbankan dalam talian atau kedai DiGi ke dalam 'vcash' dan mengimbas kod QR di mana-mana tempat yang menyediakan kemudahan itu dengan memasukkan jumlah pembayaran untuk menyelesaikan urus niaga.

Khairy berkata, pihaknya optimis memperluaskan kemudahan 'vcash' di semua institusi dan kemudahan di bawah KBS termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Bandar Sukan Kuala Lumpur.

"Contohnya, sistem ini mungkin boleh digunakan untuk tempahan kemudahan sukan disediakan KBS kerana memudahkan pemantauan dan pelanggan membuat bayaran," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DiGi, Albern Murty, berkata 'vcash' menawarkan empat kelebihan iaitu selamat kerana menggunakan nombor pengenalan peribadi (PIN) dan cap jari, mudah, boleh dikesan memantau perbelanjaan harian dan tidak menggunakan banyak tenaga.

Berita Harian X