Khamis, 22 Februari 2018 | 12:47pm
ERBAIN melihat isterinya, Halimatul Saadiah menggunakan peralatan khas yang dipinjamkan HSNI untuk menyedut kahak Siti Iszarina . - Foto NSTP
SITI Iszarina menderita komplikasi kesihatan termasuk saluran jantung tersekat, saluran nafas sempit dan sumbing pada lelangitnya. - Foto NSTP

Sudah 7 bulan Siti derita

BATU PAHAT: Seorang bayi berusia tujuh bulan di Kampung Parit Jambi, Mukim 7, Yong Peng, dekat sini, yang dilahirkan pramatang dan bersaiz hanya sebesar botol air mineral, menderita pelbagai komplikasi kesihatan sejak dilahirkan.

Siti Iszarina Erbain, yang dilahirkan dengan berat 1.5 kilogram (kg) menderita saluran jantung tersekat, saluran nafas sempit dan sumbing pada lelangitnya.

Ibunya, Halimatul Saadiah Ishak, 37, yang juga suri rumah berkata anak bongsunya itu terpaksa dirawat di wad penjagaan intensif bayi (NICU) di Hospital Serdang dan Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) selama hampir tujuh bulan sejak dilahirkan sebelum dibenarkan pulang.

Katanya, Siti Iszarina atau dipanggil Siti juga perlu mendapat rawatan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi masalah jantung dan sumbing pada lelangitnya manakala HSNU untuk rawatan susulan masalah saluran pernafasan sempit.

Tidak seperti bayi normal lain seusianya, Siti bergantung sepenuhnya kepada susu formula yang perlu diberikan setiap tiga jam sekali menerusi saluran tiub terus ke perutnya malah tidak boleh diberikan makanan lagi berikutan masalah sumbing pada lelangitnya.

Berikutan masalah saluran pernafasan sempit, leher Siti juga perlu ditebuk dan diletakkan tiub bagi menyedut kahak setiap kali nafasnya berbunyi atau ketika nafasnya laju bagi mengelakkannya sesak nafas.

"Saya dan suami, Erbain Othman, 45, perlu sentiasa peka dan menjaga Siti sepanjang masa terutama pada waktu malam kerana bimbang dia akan sesak nafas atau tersedak dan kami perlu menyedut kahaknya menggunakan mesin khas yang dipinjamkan HSNI.

HALIMATUL Saadiah menggunakan peralatan khas yang dipinjamkan HSNI untuk menyedut kahak Siti Iszarina. - Foto NSTP

"Pembedahan untuk membetulkan saluran jantung, sumbing pada lelangit dan saluran pernafasannya tidak dapat dilakukan kerana menunggu usianya meningkat kepada dua tahun di samping berat badannya yang kini hanya 4.7 kilogram masih di bawah sasaran doktor," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Sementara itu, Erbain yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah berkata, tidak seperti bayi normal lain, Siti juga tidak mengeluarkan suara atau bunyi termasuk ketika menangis.

Berikutan itu Erbain dan isteri perlu sentiasa berwaspada dan melihat kepada riak muka dan bunyi nafas Siti bagi mengetahui sama ada bayi mereka sesak nafas dan perlu menyedut kahaknya.

"Perbelanjaan menguruskan Siti termasuk kelengkapan perubatan serta susu dan membawanya mendapatkan rawatan susulan ke HSA di Johor Bahru dan HSNI pula mencecah RM1,000 sebulan bersamaan dengan gaji saya.

"Alhamdulillah, adik-beradik saya dan isteri sentiasa membantu apabila saya kesempitan wang malah permohonan bantuan kepada Baitulmal juga baharu diluluskan semalam.

"Siti perlu diberikan tujuh jenis ubat dibekalkan HSA dan HSNI setiap hari termasuk ubat untuk jantungnya, namun kelengkapan yang lain termasuk tiub susu dan tiub kahak yang perlu diganti setiap hari selain susu formula, kami usahakan sendiri, " katanya yang juga mempunyai tiga lagi anak lelaki berusia 10, lapan dan lima tahun.

Erbain berkata, beliau dan isterinya sentiasa berdoa supaya kesihatan Siti akan pulih dan dapat membesar seperti kanak-kanak normal.

Berita Harian X