Khamis, 22 Februari 2018 | 3:13pm
SULTAN Nazrin bertitah dalam ucaptama pada Forum Pendidikan Tinggi (HEF) 2018 bertema Ekonomi [email protected] (Revolusi Perindustrian) : Kebangkitan Semula Wakaf di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Saifullizan Tamadi

Bangunkan tadbir urus wakaf berkesan, kukuh - Sultan Perak

KUALA LUMPUR: Halangan terbesar pembangunan sistem wakaf di negara ini ialah pengurusan lemah institusi berkenaan akibat mekanisme penyeliaan dan peraturan yang terhad.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah justeru profesionalisme dan tadbir urus yang kukuh adalah kunci menarik keyakinan serta kepercayaan awam terhadap institusi wakaf, sekali gus menangani pelbagai masalah berkaitan.

Bagi mengukuhkan tadbir urus dan membangunkan strategi lebih luas bagi menghidupkan semula penggunaan wakaf sebagai platform kewangan sosial Islam, baginda bertitah, institusi itu perlu membina kerangka tadbir urus rasmi sendiri.

"Kerangka ini boleh meliputi spesifikasi jelas mengenai peranan dan tanggungjawab pemegang amanah serta pihak berkuasa wakaf. Selain itu, perlu ada kod tatalaku supaya pemegang amanah bertindak untuk kepentingan terbaik pihak penderma dan penerima faedah.

"Kita mesti memastikan semua badan pentadbir wakaf memiliki pengalaman dan kepakaran diperlukan dalam pengurusan aset ini, termasuk memahami prinsip Islam serta undang-undang

berkaitan.

"Kita juga mesti mempertimbangkan cara sistem wakaf boleh berfungsi bersama instrumen kewangan Islam yang lain. Selain itu, memanfaatkan teknologi kewangan atau kewangan digital bagi meningkatkan keberkesanan pengagihan dan kutipan wakaf," titah baginda.

Baginda bertitah demikian dalam ucaptama pada Forum Pendidikan Tinggi (HEF) 2018 bertema Ekonomi [email protected] (Revolusi Perindustrian) : Kebangkitan Semula Wakaf di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalannya, Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.

Pada majlis itu, baginda turut melancarkan Kursi Wakaf yang ditubuhkan di Universiti Malaya (UM), berkuat kuasa hari ini.

Ketika ini, Sultan Nazrin bertitah, amat sedikit tanah wakaf menjana pendapatan kepada pihak berkuasa tunggalnya, mutawalli yang juga Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) masing-masing.

Baginda bertitah, tanah wakaf terbabit kurang maju berikutan kebanyakannya terletak di luar bandar dan membabitkan kawasan luas dengan potensi kecil untuk pembangunan.

"Statistik semasa menunjukkan hanya dua peratus daripada hampir 13,500 hektar tanah wakaf di Malaysia, dibangunkan semula.

"MAIN juga menghadapi masalah berkaitan pendaftaran hak milik tanah wakaf kerana tanah diwarisi banyak generasi dan hak milik tidak dapat dikenal pasti. Tanpanya, hampir mustahil untuk MAIN membangunkan tanah berkenaan.

"Selain itu, wakaf tidak banyak digunakan sebagai instrumen kemampanan ekonomi sosial ekoran kurang pemahaman mengenai struktur operasi dan cara menyalurkan manfaatnya. Ramai pemegang taruh dan masyarakat masih tidak menyedari cara berbeza sistem wakaf boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan diagih kepada penerima," titah baginda.

Berita Harian X