Khamis, 22 Februari 2018 | 4:03pm
SULTAN Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah) menyaksikan pernyerahan dokumen kursi wakaf oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh (kiri) kepada Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk IR Dr. Abdul Rahim Hashim (kanan) pada majlis "Higher Education Forum (HEF) 2018 @ 4IR : Waqf Revival di Royale Chulan Hotel. - Foto Saifullizan Tamadi

Kursi Wakaf ditubuhkan di UM

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan penubuhan Kursi Wakaf di Universiti Malaya (UM), berkuat kuasa serta-merta iaitu yang pertama seumpamanya di universiti awam (UA) negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata kursi itu antara lain akan melakukan kajian mengenai cara menghidupkan semula wakaf, sekali gus membangun dan memanfaatkan sepenuhnya wakaf di Malaysia.

"Kursi ini akan memberi nafas baharu terhadap kedudukan wakaf sebagai satu instrumen yang boleh membangunkan masyarakat.

"Wakaf juga dapat digunakan sebagai sumber pendapatan tambahan kepada UA. Kita boleh mengambil contoh di Turki, wakaf adalah perkara biasa dan satu cara hidup. Jadi, penyandang sulung Kursi Wakaf ini akan dilantik secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian ucaptama oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, pada Forum Pendidikan Tinggi (HEP) 2018 bertema Ekonomi [email protected] (Revolusi Perindustrian 4.0) : Kebangkitan Semula Wakaf di sini, hari ini.

Pada majlis itu, baginda turut melancarkan kursi berkenaan yang dikhususkan untuk pengajian wakaf.

Mengulas lanjut, Idris berkata, hasil peranan Kursi Wakaf termasuk menerusi penyelidikan dan pandangan diperoleh, boleh dikongsi untuk terus mempertingkatkan peranan wakaf di UA secara keseluruhan.

Beliau berkata, ia juga boleh dihebahkan untuk manfaat orang awam melalui persidangan dan program kesedaran, selain dikemukakan kepada kerajaan.

"Kerjasama juga boleh diadakan dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mempertingkatkan wakaf," katanya.

Ketika ini, Idris berkata, sebanyak 14 UA sudah menubuhkan Unit Wakaf masing-masing selepas bermula di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Katanya, pelaksanaan wakaf di UA berkembang baik, bahkan UPM kini berjaya mengumpulkan aset lebih RM10 juta.

"Universiti boleh menjadi tenaga pengembang wakaf untuk negara. Insya-Allah, pewujudan Unit Wakaf di UA dapat menjadi contoh pembangunan wakaf di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata, wakaf boleh membawa keadaan ekonomi lebih saksama, malah mampu menjadi sektor ketiga selepas kerajaan dan swasta, termasuk dengan memanfaatkan teknologi dalam Revolusi Perindustrian 4.0.

"Wakaf sudah lama wujud dan turut digunakan melalui konsep endowmen di luar negara," katanya.

Sementara itu, HEP 2018 yang berlangsung selama dua hari menampilkan 15 pembentang kertas kerja antarabangsa dan tempatan termasuk dari Turki, United Kingdom, India, Arab Saudi, Indonesia, Kuwait, Iran dan Afrika Selatan.

Berita Harian X