Khamis, 22 Februari 2018 | 6:06pm
MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri Dr Richard Riot Anak Jaem (kiri ketiga), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan (kiri keempat) dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Saksi di Gazali Abas (kiri) menyampaikan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif HRDF (CEO), Datuk CM Vignaevaran (kiri) dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ) di Wisma HRDF. - Foto Owee Ah Chun

Kerajaan mahu perbaiki CPI Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius Indeks Persepsi Rasuah 2017 (CPI) yang dikeluarkan Transparency International-Malaysia (TI-M) dan akan mengambil langkah bagi memperbaikinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Paul Low Seng Kuan, percaya penangkapan kes berprofil tinggi pada tahun kebelakangan ini menyebabkan kedudukan CPI Malaysia merosot.

"Bagaimanapun, ini tidak boleh menghalang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada membuat penguatkuasaan agresif dan kerajaan daripada membuat perubahan transformasi jangka panjang.

"Sejak beberapa tahun lalu, SPRM menunjukkan komitmen padu untuk menguatkuasakan akta SPRM dan perundangan berkaitan antirasuah dengan membuat pelbagai tangkapan termasuk terhadap individu berprofil tinggi," katanya ketika mengulas laporan kemerosotan CPI 2017, hari ini.

Beliau berkata, publisiti dan pendedahan berprofil tinggi yang diberikan SPRM kepada kes terutamanya pada tahun lalu mungkin mendatangkan lebih banyak persepsi negatif yang menyumbang kepada kejatuhan skor CPI 2017 dan penarafan di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak seharusnya menghalang SPRM daripada penguatkuasaan yang lebih agresif dan tidak menghentikan usaha kerajaan membuat perubahan bagi pembaharuan dalam jangka panjang.

"Inisiatif pencegahan kita memberi tumpuan untuk meningkatkan prasarana tadbir urus institusi dan membina budaya organisasi yang kukuh membabitkan aspek kejujuran serta kebolehpercayaan dalam sektor awam.

"Bagi membantu usaha ini, kami mengembangkan peranan dan tanggungjawab Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) sebelum ini kepada Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang baharu," katanya.

Seng Kuan berkata, pada masa depan, tanggungjawab untuk mencegah dan memacu pembaharuan menuju perkhidmatan awam yang lebih berdaya saing dan mengamalkan urus tadbir terletak di bawah JITN.

"Dalam meletakkan asas sistem tadbir urus yang lebih baik, kami menegaskan aspek pemberi rasuah dengan mencadangkan peruntukan liabiliti korporat dalam Akta SPRM.

"Ini membolehkan syarikat yang gagal melaksanakan prosedur antirasuah bertanggungjawab ke atas tindakan rasuah pekerja mereka," katanya.

Sementara itu, Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar berkata, skor dan kedudukan dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala 'kosong' (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

"Malaysia mencatatkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu. Malaysia berada di tangga ke-62 daripada 180 negara dalam CPI 2017 berbanding ke-55 daripada 176 negara pada 2016.

"Di ASEAN, Malaysia antara tiga negara teratas selepas Singapura dan Brunei," katanya ketika mengumumkan keputusan CPI 2017 pada sidang media, di sini, semalam.

Beliau berkata, berbanding negara ASEAN lain, Malaysia berada di belakang Singapura (ke-6) dan Brunei (32), namun di depan Indonesia (96), Thailand (96), Vietnam (107), Filipina (111), Myanmar (130), Laos (135) dan Kemboja (161).

Berita Harian X