Khamis, 22 Februari 2018 | 6:49pm

Malaysia komited capai kesaksamaan gender

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah menyerahkan laporan gabungan ketiga sehingga kelima kepada jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang berlangsung di Geneva, Switzerland, semalam.

Laporan yang dihantar wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkumi perincian maklumat berhubung dasar, inisiatif dan pendekatan diambil kerajaan bagi mencari ruang dan peluang ke arah memastikan Malaysia mencapai kesaksamaan gender.

"Antara isu berbangkit pada sesi dialog adalah amalan sistem dualisme perundangan yang dianggap sebagai diskriminasi perlembagaan, terutamanya membabitkan hak wanita Muslim mengikut undang-undang syariah.

"Ada ahli jawatankuasa berminat belajar mengubah norma sistem dan stereotaip gender, sekali gus mengorak langkah untuk meningkatkan bilangan wanita dalam politik.

"Kerajaan mengikut proses undang-undang dalam mengendalikan isu diskriminasi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bagi memartabatkan hak semua individu," kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyebut, Malaysia berpendirian undang-undang syariah yang diamalkan berupaya melindungi dan menjamin hak wanita Muslim meliputi isu perkahwinan, perceraian, hak warisan dan penjagaan anak.

"Malaysia yakin komitmen ahli jawatankuasa dapat mengukuhkan jentera ke arah memperkasakan kesaksamaan gender yang menjadi agenda penting negara," katanya.

Berita Harian X