Khamis, 22 Februari 2018 | 8:58pm
SULTAN Perak Sultan Nazrin Shah berucap pada Forum Pendidikan Tinggi (HEF) 2018 Ekonomi Islam @4IR : Kebangkitan Wakaf hari ini.
- Foto BERNAMA

Laksanakan wakaf secara inovatif

KUALA LUMPUR: Masyarakat Islam di negara ini perlu mengubah pemikiran konvensional mengenai wakaf supaya pelaksanaannya berkembang secara inovatif seiring kemajuan teknologi.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Prof Dr Asma Ismail, berkata perubahan minda itu penting bagi membolehkan wakaf memanfaatkan masyarakat secara keseluruhan dalam segenap aspek kehidupan.

Beliau berkata, antara lain wakaf untuk menjayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pelbagai bidang termasuk mengenai penyakit yang dapat memberi faedah besar kepada ramai orang kelak.

Katanya, wakaf juga dapat membantu usaha pelajar universiti menjalankan pelbagai projek untuk faedah masyarakat tetapi memerlukan dana.

"Sudah tiba masanya kita menimba contoh pelaksanaan wakaf secara inovatif di negara lain untuk kebaikan manusia.

"Pihak universiti sendiri mengambil inisiatif berhubung perkara ini. Sebagai contoh, USM ada 'menu projek' untuk pilihan mereka yang berminat menyumbangkan wakaf.

"Malah, kita menyediakan e-wakaf atau aplikasi sistem 'tanpa tunai' untuk memudahkan orang ramai berwakaf," katanya kepada pemberita selepas menjadi seorang daripada ahli panel sesi perbincangan pada Forum Pendidikan Tinggi (HEF) 2018 bertema Ekonomi [email protected] (Revolusi Perindustrian 4.0): Kebangkitan Semula Wakaf di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, lebih banyak program harus diadakan bagi menjana kesedaran masyarakat mengenai keperluan perubahan pemikiran ke arah pelaksanaan wakaf secara inovatif.

Sementara itu, seorang lagi ahli panel sesi perbincangan forum berkenaan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Datuk Prof Dr Azmi Omar, sependapat perlu ada kesedaran dan perubahan pemikiran mengenai pelaksanaan wakaf di Malaysia.

Sebagai contoh, beliau berkata, ramai menyumbangkan wakaf bagi penyediaan lebih banyak kenderaan jenazah dan tanah perkuburan, namun bantuan untuk pendidikan generasi muda serta pembinaan rumah bagi golongan miskin juga amat diperlukan.

Berita Harian X