Jumaat, 23 Februari 2018 | 10:51am
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah), bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman ketika majlis menandatangani Memorandum of Understanding (MoU) antara Kerajaan Malaysia, SK Group, South Korea, Cyberview Sdn. Bhd. dan SK Telecom Co. Ltd. di Sapphire Room, Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Konglomerat Korea Selatan pilih Malaysia - PM

KUALA LUMPUR: Konglomerat terkemuka Korea Selatan, SK Group bakal menubuhkan ibu pejabat serantaunya di Malaysia dalam usaha membantu Malaysia melaksanakan inisiatif lautan birunya, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ibu pejabat serantau itu akan turut menjadi pejabat untuk ASEAN, India dan Asia Barat buat SK Group, yang tersenarai dalam Fortune 100 dan syarikat kedua terbesar di Korea Selatan dari segi pasaran permodalan.

Katanya, Malaysia juga bakal menjadi pusat pengembangan perniagaan SK Group di rantau ini sekali gus menunjukkan keyakinan tinggi kumpulan itu kepada negara.

"SK Group akan membantu membangunkan bakat berkemahiran tinggi tempatan dengan melatih dan membentuk pemimpin perniagaan masa depan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara kerajaan Malaysia dan SK Group serta di antara Cyberview Sdn Bhd dengan SK Holdings Co Ltd dan SK Telecom Co Ltd.

Pada majlis pertukaran MoU yang pertama, kerajaan Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Cyberview, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah manakala SK Group oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif E&S, Yu Jeong Joon.

Bagi MoU kedua, Cyberview diwakili oleh Pengarah Urusannya, Mohd Najib Ibrahim dan SK Holdings dan SK Telecom oleh Ketua Pegawai Eksekutif SK Telecom, Park Jung Ho.

Pertukaran kedua-dua MoU itu disaksikan oleh Najib, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SK Group, Chey Tae-won.

Najib berkata, pemeteraian MoU pertama itu menandakan bermulanya kerjasama kreatif dengan SK Group dalam sektor utama seperti ICT dan teknologi 5G, minyak dan gas, teknologi hijau serta pembangunan bandar.

Katanya, bagi MoU kedua pula ialah pembangunan Bandar Pintar Lautan Biru di Malaysia bermula dengan Cyberjaya.

"Transformasi Cyberjaya beberapa tahun ini mencwrminkan perubahan pesat dalam membangunkan teknologi baharu.

"Kerajaan sudah menyediakan persekitaran yang sesuai, sokongan dan insentif di Cyberjaya dan saya percaya kepakaran SK Group dalam sektor ini, digabungkan dengan wawasan strategik Cyberjaya untuk membangunkan bandar pintar, akan membantu menyampaikan perubahan transformasi dalam infrastruktur, teknologi dan paling penting kehidupan di bandar kita.

"Adalah menjadi harapan Bandar Pintar Lautan Biru di Cyberjaya akan menjadi model penyelesaian bandar pintar yang boleh dicontohi pusat bandar lain di Malaysia," katanya.

Berita Harian X