Sabtu, 24 Februari 2018 | 3:22pm

TPM hadir program GOTV Kelantan

KOTA BHARU: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hadir dalam perjumpaan tertutup bersama-sama petugas Barisan Nasional (BN) dalam program 'Get Out The Voters (GOTV) BN' di Hotel Grand Riverview di sini hari ini.

Timbalan Pengerusi BN tiba bersama-sama isteri, Datin Seri Hamidah Khamisam jam 1.45 tengah hari diiringi Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan pimpinan BN Kelantan.

Difahamkan dalam majlis berkenaan Zahid dan Mustapa akan menyampaikan amanat persiapan menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14) dan membincangkan mengenai program GOTV BN dengan kira-kira 1,000 petugas BN Kelantan.

Selepas program ini, beliau bertolak ke Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu ( KADA) Tendong, Pasir Mas.

Sebelum ini, perjumpaan sama turut diadakan di Johor dan Melaka.

AHMAD Zahid tiba bagi menghadiri perjumpaan tertutup bersama-sama petugas BN dalam program GOTV BN di Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi
Berita Harian X