Sabtu, 24 Februari 2018 | 6:58pm
TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri Datin Seri Hamidah Khamis melambai tangan kepada orang ramai sejurus tiba pada Majlis Sepetang Bersama Rakyat di Dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Tendong. - Foto BERNAMA

Pusat lulus peruntukan lebih RM5.5 juta di Pasir Mas

PASIR MAS: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan lebih RM5.5 juta untuk membina dan membaik pulih rumah penduduk yang memerlukan, masjid selain bantuan kepada ibu tunggal serta warga emas dalam Parlimen Pasir Mas.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata peruntukan itu juga digunakan untuk menyiapkan masjid di Bunut Susu, selain membaik pulih satu lagi masjid di Kampung Atas Pinggir.

"Sebanyak RM500,000 diperuntukkan untuk sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal di Parlimen Pasir Mas.

"Kira-kira RM4 juta lagi bagi menyiapkan masjid di Bunut Susu dan membaik pulih masjid di Kampung Atas Pinggir, di sini.

"Kita juga akan membina baharu sebanyak 647 rumah dan membaik pulih 1,270 rumah," katanya dalam ucapan di Majlis Sepetang Bersama Rakyat, di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Tendong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Pusat tidak pernah melupakan Kelantan dan peruntukan diberi atas dasar tanggungjawab terhadap rakyat negeri ini.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat, berkata beliau tidak menjangkakan Kerajaan Pusat menerusi Timbalan Perdana Menteri akan meluluskan semua permintaan daripada Parlimen Pasir Mas.

"Ini adalah hadiah sangat bermakna dan besar kepada rakyat Parlimen Pasir Mas dan kita berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang prihatin. Bagi mengenang jasa dan budi, rakyat haruslah sokong Barisan Nasional," katanya.

Seorang penduduk, Jamaluddin Abd Rahman, 53, berkata peruntukan itu menunjukkan Kerajaan Pusat prihatin kepada semua rakyat tanpa memilih parti.

"Saya yakin peruntukan ini akan memberi perubahan kepada penduduk Pasir Mas khususnya di Tendong," katanya.

Berita Harian X