Ahad, 25 Februari 2018 | 3:40pm
SETIAUSAHA Agung Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub. - Foto fail NSTP

'Jangan jadi Si Tanggang'

KUALA LUMPUR: Individu yang mengecap kejayaan hasil pelbagai dasar kerajaan, diminta tidak terikut-ikut dengan perangai si Tanggang.

Setiausaha Agung Kelab Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, berkata mereka berani 'menggigit' tangan pihak yang pernah menghulurkan bantuan sehingga bergelar jutawan,

Beliau melabelkan golongan tidak mengenang budi ini sebagai 'Si Tanggang Moden'.

"Selama ini, kita tahu kekayaan dinikmati individu yang mendapat faedah daripada kemudahan melalui dasar kerajaan adalah kunci kejayaan mereka selama ini.

"Kalau betul, mereka adalah manusia yang tidak tahu berterima kasih dan menghargai kemudahan kerajaan.

"Kekayaan dan kemewahan dinikmati itu bermula daripada kunci diberikan kerajaan. Mereka bernasib baik kerana kerajaan sanggup membantu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mustapha mengulas tulisan blogger, Raja Petra Kamaruddin, menerusi portal Malaysia Today, yang antara lain mendakwa jutawan gula, Tan Sri Robert Kuok, mempunyai agenda menjatuhkan BN dan diganti DAP bagi membolehkan kaum Cina memerintah negara, sama ada secara langsung atau di belakang tabir.

Raja Petra dalam artikelnya turut mendakwa, Kuok menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika pelancaran pada 1970, dan menyuarakan bantahan kepada pemimpin UMNO seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Time pada 4 Disember tahun lalu.

Tindakan Kuok turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menegaskan bantuan kerajaan membolehkan tokoh korporat itu menjadi individu terkaya di Malaysia walaupun jutawan itu diakui memiliki hak tersendiri dan rajin bekerja.

BH sudah menghubungi Kuok Group bagi mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu dan menunggu reaksi pihak berkenaan.

Berita Harian X