Ahad, 25 Februari 2018 | 3:48pm
KHAIRUL Azwan Harun (kanan) dan Tan Sri Robert Kuok. - Foto fail NSTPEMAIL

Rakyat perlu tanya niat Kuok - Khairul Azwan

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun mempersoalkan tindakan tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok, yang didakwa membiayai DAP untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya, Kuok perlu menjelaskan niat sebenar serta agendanya dalam mengangkat DAP, sedangkan individu terkaya di Malaysia itu mengaut kekayaan selama ini hasil bantuan kerajaan BN.

"Rakyat perlu tanya apakah niat sebenar Robert Kuok mempertikai urusan politik dan dasar kerajaan.

"Selama ini setelah mengaut kekayaan hasil bantuan kerajaan, di manakah dia apabila negara berhadapan pelbagai krisis dan cabaran?

"Adakah Robert Kuok mempunyai agenda sempit bagi menjaga kepentingan diri dan kumpulan dia sahaja," katanya kepada BH, hari ini.

Khairul Azwan mengulas dakwaan bloger, Raja Petra Kamaruddin, menerusi portal Malaysia Today yang menuduh Kuok mempunyai agenda menjatuhkan BN dan digantikan dengan DAP, bagi membolehkan kaum Cina memerintah negara, sama ada secara langsung atau di belakang tabir.

Raja Petra turut mendakwa, Kuok menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika pelancaran pada 1970, dan menyuarakan bantahan kepada pemimpin UMNO, seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Times pada 4 Disember tahun lalu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menegaskan, Kuok tidak berada pada kedudukan hari ini semata-mata kerana ketekunan dan disiplin, sebaliknya turut diberi 'anak kunci' daripada kerajaan yang membolehkannya memonopoli perniagaan beras dan gula.

Pada 2017, Forbes melaporkan Kuok, 94, yang turut dikenali sebagai 'raja gula', mengetuai senarai individu terkaya di Malaysia dengan nilai bersih kekayaan berjumlah AS$11.4 bilion, hasil penguasaan dalam sektor perdagangan minyak sawit, perkapalan dan hartanah.

BH sudah menghubungi Kuok Group bagi mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu dan sedang menunggu reaksi pihak berkenaan.

Berita Harian X