Ahad, 25 Februari 2018 | 3:52pm
DATUK SK Devamany (kiri) dan Tan Sri Robert Kuok. - Foto fail NSTP

Jangan jadi talam dua muka - Devamany

KUALA LUMPUR: "Jangan tangan kanan menerima dana (kerajaan), tangan kiri menikam di belakang."

Itu peringatan Timbalan Presiden MIC, Datuk SK Devamany, kepada tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok, yang didakwa membiayai DAP dengan tujuan menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata mana-mana ahli korporat termasuk Kuok yang menerima bantuan kerajaan, tidak sepatutnya menyokong pembangkang.

Jika dakwaan itu benar, katanya, budaya talam dua muka itu bukan saja tidak baik untuk negara, malah boleh menggugat reputasi syarikat mereka.

"Jika dia ada pendirian, mengapa membantu pembangkang sedangkan dapat bantuan kerajaan. Itu talam dua muka, itu tak betul.

"Jika perjuangan (Kuok) berprinsip, keluarlah secara terbuka untuk (nyatakan) sokongan sama ada kepada pembangkang atau BN, tapi tak boleh (sokong) kedua-duanya.

"Kalau sokong pembangkang, 'be gentleman', terbuka. Tak salah (sokong pembangkang), itu ideologi politik masing-masing," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bloger, Raja Petra Kamaruddin menerusi portal Malaysia Today, yang menuduh Kuok mempunyai agenda menjatuhkan BN dan digantikan dengan DAP, bagi membolehkan kaum Cina memerintah negara, sama ada secara langsung atau di belakang tabir.

Raja Petra turut mendakwa, Kuok menentang Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika pelancaran pada 1970, dan menyuarakan bantahan kepada pemimpin UMNO, seperti dilaporkan akhbar Singapura, The Straits Times pada 4 Disember tahun lalu.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Kuok tidak berada pada kedudukan hari ini semata-mata kerana ketekunan dan disiplin, sebaliknya turut diberi 'anak kunci' daripada kerajaan yang membolehkannya memonopoli perniagaan beras dan gula.

Pada 2017, Forbes melaporkan Kuok, 94, yang turut dikenali sebagai 'Raja Gula' mengetuai senarai individu terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih kekayaan berjumlah AS$11.4 bilion, hasil penguasaan dalam sektor perdagangan minyak sawit, perkapalan dan hartanah.

BH sudah menghubungi Kuok Group bagi mendapatkan maklum balas berhubung dakwaan itu dan sedang menunggu reaksi pihak berkenaan.

Berita Harian X