Isnin, 26 Februari 2018 | 4:47pm
MUFTI Kerajaan Brunei Darussalam, Pehin Dr Awang Abdul Aziz Juned berucap di Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Tahun 2018 di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Hotel [email protected], Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya

Penasihat takut tegakkan kebenaran - Mufti Brunei

IPOH: Kesilapan umara memilih pendamping atau penasihat dalam melaksanakan tanggungjawab kepemimpinan menjadi punca keruntuhan banyak kerajaan terdahulu.

Mufti Kerajaan Brunei Darussalam, Pehin Dr Awang Abdul Aziz Juned, berkata kebanyakan kerajaan itu terkubur berikutan penasihat curang dan tidak berani memberikan nasihat yang benar.

"Perkara ini berlaku kerana kesilapan dan kesalahan, ditambah dengan sikap penasihat curang serta orang berilmu yang penakut dan tidak berani menegakkan kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja utama pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertema 'Kepimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara' di Pusat Konvensyen Amanjaya di sini, hari ini.

Dari sudut kepemimpinan dan kekhalifahan, katanya, ulama serta umara sama-sama berperanan dan tidak wajar mengambil sikap saling menyendiri.

"Kedua-dua pihak selamanya terikat oleh kepentingan. Malah, mereka mesti selamanya duduk bersama.

"Adalah salah jika mereka berpecah atau ada pihak lain memisahkan kedua-duanya. Jika mereka terpisah, maka akan berlakulah kepincangan," katanya.

Awang berkata, di tangan kedua-duanya, terletak kebaikan mahupun keburukan untuk umat yang dipimpin, dengan ulama berperanan membimbing serta menasihati, manakala umara melaksanakannya.

"Ulama adalah sebahagian daripada syiar agama Allah dan untuk itu, mereka mesti terus unggul, hebat serta tidak lembik.

"Hari ini, dengan kehendak Allah juga, masih ada ulama berhati singa, berani berkata kerana benar dan sanggup tampil membetulkan yang bengkok serta mencegah kemungkaran walaupun risikonya sangat tinggi.

"Tindakan itu memungkinkan mereka diseksa atau dipenjara, dibuang negeri, malah ada juga yang dihukum bunuh," katanya.

Berita Harian X