Isnin, 26 Februari 2018 | 5:02pm
KETUA Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad bersama Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika sidang media selepas Majlis sambutan Tahun Baru Cina SPRM di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Jangan nilai SPRM hanya berdasarkan CPI

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berharap rakyat tidak menilainya hanya daripada sudut persepsi pakar antarabangsa semata-mata, sebaliknya turut melihat kepada aktiviti dan tindakan sudah dilaksanakan dalam usaha membanteras rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata laporan mengenai kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 itu dibuat berdasarkan persepsi daripada ekspatriat luar negara dan bukannya oleh masyarakat negara ini.

Beliau berkata, hasil laporan berkenaan juga tidak selari dengan tindakan dilakukan suruhanjaya berkenaan di peringkat negara.

"Justeru, perlu lihat dari sudut realiti kerana persepsi ini pelbagai macam kita boleh terima, tetapi realitinya bagaimana.

"Sekiranya kita lihat dari sudut tindakan SPRM, saya berpendapat kita sudah melakukan yang terbaik untuk negara dengan mengambil kira kekangan pegawai dan bajet yang kami ada," katanya kepada media pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina bersama komuniti Cina di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

Mengikut laporan indeks dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) pada 22 Februari lalu, Malaysia berada di tangga ke-62 daripada 180 negara pada 2017, berbanding kedudukan ke-55 daripada 176 negara pada 2016.

Malaysia mencatatkan skor 47 daripada 100 dalam tinjauan CPI tahun lalu, menurun dua mata berbanding 49 pada 2016.

Skor dalam CPI ditentukan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara berdasarkan skala sifar (dianggap paling rasuah) kepada 100 (paling bersih).

Pada masa sama, Dzulkifli berkata, dengan kapasiti dan kemampuan yang ada, SPRM berjaya melakukan pelbagai perkara dari sudut penguatkuasaan, pendidikan dan pencegahan sepanjang 2017.

"Kami tidak berduka cita dengan persepsi ini, malah ia memberi lagi semangat kepada kami untuk melaksanakan tugas.

"Selain itu, kami melihat ini cabaran yang perlu ditangani bersama dan berharap rakyat turut memberi sokongan dan bersama-sama memainkan peranan untuk melihat negara bebas rasuah serta isu salah guna kuasa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sudah sampai masanya Malaysia mempunyai indeks rasuah sendiri pada peringkat nasional dan perkara itu sudah dibincangkan dengan Lembaga Penasihat SPRM.

"Kita mengharapkan badan yang melaksanakan itu (indeks rasuah di peringkat nasional) bukan SPRM tetapi badan bebas, sebagai contoh, pihak universiti atau badan bukan kerajaan (NGO) atau mana-mana pihak yang mempunyai kredibiliti," katanya.

Berita Harian X