Isnin, 26 Februari 2018 | 6:01pm
MOHAMAD Fuzi (kiri) pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Bukit Aman anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Kes jenayah komersial catat peningkatan membimbangkan

KUALA LUMPUR: Jumlah kes jenayah komersial mencatat peningkatan membimbangkan dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, sekali gus menuntut polis mengambil pelbagai tindakan proaktif membendungnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata kemunculan aliran mega membabitkan teknologi digital disokong akses dunia media sosial tanpa sempadan, dilihat menyumbang kepelbagaian trend jenayah komersial, terutama jenayah siber.

Beliau berkata, sepanjang 2015, sebanyak 19,509 kes dilaporkan sebelum meningkat kepada 26,277 pada tahun berikutnya.

"Tahun lalu, 28,271 kes dilaporkan. Bagi 2018 setakat hari ini, 2,233 kes dilaporkan. Money game (penipuan skim ponzi) paling banyak menunjukkan peningkatan.

"Walaupun jumlah kes menunjukkan peningkatan membimbangkan, ia masih terkawal," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Bukit Aman anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di sini, hari ini.

Namun, Mohamad Fuzi berkata, JSJK berjaya meningkatkan kadar pertuduhan kes pada tahun lalu, iaitu 6,417 pertuduhan atau 24.4 peratus daripada keseluruhan 28,271 kes, berbanding 17.8 peratus 2016.

"JSJK turut agresif membanteras dengan melaksanakan 12,203 operasi dan serbuan sepanjang tahun lalu serta menahan 11,691 individu atas pelbagai kesalahan jenayah komersial. Sebanyak 9,864 operasi dan serbuan itu diklasifikasikan sebagai berjaya.

"Jumlah operasi dan serbuan dilakukan melangkaui petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan, iaitu 7,500 operasi dan serbuan setahun," katanya.

Selain itu, katanya JSJK mengambil langkah proaktif memastikan semua pegawai di kontinjen seluruh negara meningkatkan prestasi, termasuk menubuhkan sebuah unit khas pada peringkat Bukit Aman untuk menangani jenayah siber.

"Antara pelan lain dirangka untuk memperkasa warga JSJK ialah memperbanyakkan latihan dan pendedahan menangani trend jenayah komersial yang modus operandinya semakin kreatif serta pelbagai.

"Kita turut menjalin kolaborasi strategik dan perkongsian maklumat risikan bersama pasukan polis serantau serta antarabangsa, antara lain Pasukan Polis Singapura serta Polis Republik Rakyat China dalam menangani sindiket penipuan African Scam dan Macau Scam," katanya.

Katanya, kekuatan anggota JSJK juga akan ditambah mengikut divisyen berdasarkan keperluan semasa jabatan itu.

Info

Kejayaan JSJK sepanjang 2017

1. Ops Tiong (African Scam)

- 1,243 operasi dan serbuan

- 1,705 ditahan

2. Ops Pelican (Macau Scam)

- 417 serbuan dan operasi

- 1,239 ditahan

3. Ops Merpati (Penipuan belian dalam talian)

- 952 operasi dan serbuan

- 960 ditahan

4. Ops Vulture (Ah Long)

- 2,164 operasi dan serbuan

- 1,318 ditahan

5. Ops Nuri (Penipuan pelaburan)

- 157 operasi dan serbuan

- 169 ditahan

Kejayaan JSJK sepanjang 2018 (setakat ini)

1. Ops Mortgage (Penipuan pelaburan)

- 12 laporan polis daripada tujuh institusi perbankan

- Kerugian: Lebih RM10 juta

- 11 ahli sindiket ditahan

- Tiga sudah dituduh

2. Penipuan pelaburan Royal Gold

- 193 laporan polis

- Kerugian: RM27.5 juta

- Enam suspek ditahan

3. Pelaburan Forex (FXUnited)

- 116 laporan polis

- Kerugian: RM6.2 juta

- Tiga suspek ditahan

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X