Selasa, 27 Februari 2018 | 4:13pm
DATUK Seri Hishammuddin Hussein bersama Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom, dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bergambar bersama anggota tentera dan kakitangan awam selepas Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di Wisma Perwira. - Foto Supian Ahmad
DATUK Seri Hishammuddin Hussein bersama Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharom, dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bergambar bersama anggota tentera dan kakitangan awam selepas Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di Wisma Perwira. - Foto Supian Ahmad
DATUK Seri Hishammuddin Hussein (enam, kanan) bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom (lima, kanan) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tiga, kanan), menerima Persijilan MS ISO 9001:2015 daripada Pengurus Besar Intertek Cerification International Sdn Bhd, Eileen Tan Ee Leen (empat, kiri), selepas tamat Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di Wisma Perwira. - Foto Supian Ahmad
DATUK Seri Hishammuddin Hussein (enam, kanan) bersama Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharom (lima, kanan) dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (tiga, kanan), menerima Persijilan MS ISO 9001:2015 daripada Pengurus Besar Intertek Cerification International Sdn Bhd, Eileen Tan Ee Leen (empat, kiri), selepas tamat Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di Wisma Perwira. - Foto Supian Ahmad

Inisiatif baharu untuk warga MINDEF

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengumumkan tujuh inisiatif baharu bagi manfaat warga awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan dua inisiatif lagi untuk warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Veteran dalam Majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di Wisma Perwira, hari ini.

Inisiatif itu adalah peruntukan 500 daripada 3,500 unit Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWip) yang bakal dibina di Sungai Besi; Karnival Jualan Murah (MyBestBuy) secara bulanan; naik taraf Taska Puspanita MINDEF; Bantuan Pendidikan Khas bagi anak-anak warga awam MINDEF dan pertambahan kuota khas ibadah haji daripada 100 orang kepada 200 orang.

Dua inisiatif untuk warga ATM dan veteran pula adalah skim pembiayaan khas Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) bernilai RM14,000 hingga RM140,000 bagi yang berkelayakan dan penubuhan Tabung Khas untuk Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM bagi memperkasakan lagi Agenda Kebajikan terhadap ahli-ahli BAKAT yang merupakan isteri kepada warga ATM.

Hishammuddin berkata, inisiatif baharu itu adalah agenda yang akan dilaksanakan di bawah Enam Teras Hala Tuju MINDEF bagi tahun 2018.

"Inisiatif ini sebagai bukti bahawa kita mendengar luahan dan permintaan warga awam MINDEF dan ATM serta sedar akan keperluan kebajikan terhadap mereka.

"Ia juga sebagai tanda penghargaan terhadap bakti mereka dalam MINDEF dan ATM seterusnya berharap ia dapat diterima baik khususnya dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa baik ketika ini," katanya.

Hishammuddin berkata, semua inisiatif itu mencakupi enam teras hala tuju MINDEF membabitkan Teras Kebajikan, Perumahan, Kesiapsiagaan, Keselamatan, Diplomasi Pertahanan dan Kesihatan.

"Inisiatif ini bukan janji kosong kerana pada tahun lalu, menerusi 6 Teras Hala Tuju MINDEF, hampir kesemua agenda sudah berjaya kita laksanakan.

"Malah saya percaya kesemua yang mendapat manfaat dalam pengumuman sebentar tadi, tertunggu pengumuman ini," katanya.

INFO

Tujuh inisiatif untuk warga awam MINDEF

1. Peruntukan 500 daripada 3,500 unit Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWip) yang akan dibina di Sungai Besi.

2. Karnival Jualan Murah (BestBuy) secara bulanan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menawarkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.

3. Naik taraf Taska PUSPANITA MINDEF. Ini termasuk pewujudan rumah transit, sumbangan kenderaan pelbagai guna kepada Persatuan Kebajikan Kakitangan Awam dan PUSPANITA selain sumbangan RM30,000 bagi mengerakkan aktiviti persatuan.

4. Bantuan Pendidikan Khas bagi anak-anak warga awam MINDEF yang mendapat keputusan cemerlang dalam Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka akan memperoleh bantuan RM100 setiap bulan selama setahun bagi PT3 dan RM150 setiap bulan selama setahun bagi SPM.

5. Peningkatan kuota khas ibadat haji dari 100 kepada 200. Menerusi inisiatif ini, seramai 200 warga awam MINDEF boleh menunaikan haji tanpa perlu menunggu giliran.

6. Memperkasa perkhidmatan pendidikan. Memastikan anak-anak warga awam MINDEF di 38 buah sekolah di dalam kem ATM di seluruh negara menikmati manfaat pendidikan, termasuk pengangkutan feri sekolah yang lebih selesa.

7. Rawatan perubatan di Hospital ATM dan Poliklinik ATM.

Dua inisiatif untuk warga ATM dan veteran

1. Pewujudan skim pembiayaan khas Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) bernilai RM14,000 hingga RM140,000 bagi yang berkelayakan untuk jangka masa pembiayaan masa lima dan 10 tahun.

2. Penubuhan Tabung Khas untuk Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT).

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X