Selasa, 27 Februari 2018 | 7:53pm
PANGLIMA ATM Datuk Sri Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyerahkan bendera kepada Komander Misi Tim Operasi Starlight-, Komander Misi, Brig Jen Dr Adnan Abdullah (kanan) yang akan berlepas ke Cox's Bazar untuk mengambil alih Hospital Medan Malaysia (HMM). - Foto NSTP

ATM ambil alih Hospital Medan Malaysia di Cox's Bazar

KUALA LUMPUR: Tim Operasi Startlight-1, Kumpulan Pertama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan mengambil alih operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) di Cox's Bazar, Bangladesh daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dijangka bertolak awal pagi esok.

Operasi HMM sebelum ini dikelolakan KKM sejak 20 November tahun lalu dan ditamatkan pada 17 Februari, bakal diambil alih ATM selaku peneraju baharu di bawah Penyelarasan Pejabat Perdana Menteri.

‎Panglima ATM, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, berkata tujuan operasi HMM di Cox's Bazar adalah untuk menzahirkan hasrat murni kerajaan.

‎"Ia sebagai komitmen penuh pimpinan tertinggi iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam memberi bantuan kemanusiaan khususnya kepada pelarian Rohingya yang sedang berlindung di Bangladesh.

‎"Fokus utama bantuan bagi menyokong usaha perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada pelarian," katanya pada sidang media Majlis Penghantaran Tim Operasi Starlight-1 Kumpulan Pertama ATM, di Wisma Transit, Jalan Padang Tembak, di sini, petang tadi.

‎Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

‎Sebelum ini, pembinaan HMM dan penyediaan aset perubatan serta latihan teknikal kakitangan perubatan awam dilaksanakan ATM, manakala operasinya dikendalikan KKM, selain turut mendapat sokongan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Luar dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

‎Pada satu-satu masa, hospital itu mempunyai tujuh pakar perubatan, lima pegawai perubatan kanan, 19 jururawat dan pembantu perubatan, seorang inspektor kesihatan serta 11 staf logistik.

Raja Mohamed Affandi berkata, keseluruhan operasi ini dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Bangladesh dan Angkatan Tentera Bangladesh (ATB) serta dibantu KKM, NGO dan sukarelawan Malaysia.

‎Beliau berkata, Tim Operasi Starlight secara keseluruhannya membabitkan 58 pegawai, anggota lain-lain pangkat dan kakitangan awam ATM.

‎"Mereka adalah 22 pegawai ATM membabitkan doktor pakar dan pegawai perubatan dalam pelbagai bidang. Seramai 30 anggota lain-lain pangkat ATM dan enam kakitangan perubatan awam ATM.

‎"Pasukan ini diatur gerak mulai 23 Februari lalu membabitkan pergerakan kumpulan pendahuluan seramai 23 orang, manakala bakinya iaitu Tim Induk akan berlepas awal pagi esok.

‎"HMM dijadualkan beroperasi sepenuhnya mulai 1 Mac selama tiga bulan, namun tertakluk kepada arahan selanjutnya mengikut keperluan," ujarnya.

Beliau berkata, Operasi Starlight-1 diketuai Brig Jen Dr Adnan Abdullah selaku Komander Misi.

Berita Harian X