Rabu, 28 Februari 2018 | 6:13pm
DATUK Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Susu tepung selamat dimakan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendapati hasil analisis lanjut terhadap susu tepung rumusan untuk kanak-kanak jenama Dutch Lady Curious (900 gram) 1-2 Tahun Biasa yang viral di media sosial, baru-baru ini, selamat untuk dimakan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata hasil pemeriksaan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di kilang pengeluaran produk itu juga mendapati premis itu mempunyai program jaminan keselamatan makanan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan produk makanan yang dijual di pasaran selamat selain sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Mengikut subseksyen 13(1), Akta Makanan 1983, mereka yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan beracun, merosakkan atau memudaratkan kesihatan boleh disabitkan kesalahan termasuk didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-dua sekali," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sekiranya pengguna mempunyai kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau menghubungi kementerian menerusi laman sesawang, http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), www.facebook.com/bkkmhq.

Baru-baru ini, viral di Facebook mengenai seorang pengadu yang memaklumkan anaknya mengalami gejala ruam merah di bahagian leher dan kelangkang, batuk, cirit-birit dan demam panas selepas mengambil produk susu tepung berkenaan.

Pengadu juga mendakwa sudah membuat aduan kepada Pejabat Kesihatan Jerantut, Pahang.

Susulan itu, Kementerian Kesihatan menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan melakukan siasatan lanjut bagi mengesahkan keselamatan produk susu tepung rumusan kanak-kanak itu.

Berita Harian X