Jumaat, 2 March 2018 | 7:58pm

'Saya takkan lari seperti pembangkang'

IPOH: Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menegaskan, beliau tidak akan melarikan diri atau berpindah daripada kawasan yang diwakilinya sebagaimana yang sering dilakukan pemimpin pembangkang daripada DAP.

Ahli Parlimen Teluk Intan itu, berkata beliau memiliki rekod perkhidmatan di kawasannya dan akan terus memberi tumpuan terhadap kerja-kerja memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di situ.

"Secara umum, ramai YB (wakil rakyat pembangkang) yang hendak lari dari kawasan atau masalah di kawasan (mereka), saya tidak tahu. (Tetapi) saya tidak akan lari dari kawasan saya, saya sudah berkhidmat di sana (Teluk Intan), ada rekod.

"Ada sesetengah YB (pembangkang), saya tahulah di beberapa tempat, mereka mungkin tidak berkhidmat, saya ada dengar di Johor juga, pemimpin pembangkang dia tidak berkhidmat, jadi dia akan lari di kawasan lain, apa motif dia mahu lari sana lari sini, saya pun tidak tahu...(bagi) saya, akan fokus kepada kerja sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Ekspo Jualan Perumahan Edisi Perak di sini hari ini.

Siew Keong diminta mengulas desas-desus mengatakan bahawa Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, M Kulasegaran, kemungkinan bertanding di Teluk Intan bagi menentang Siew Keong.

Beliau yang juga Presiden GERAKAN, berkata terlalu banyak spekulasi mengenai calon DAP yang akan bertanding di Teluk Intan dan beliau tidak boleh menahan sesiapa sahaja yang mahu bertanding di situ.

Katanya, GERAKAN akan menghantar nama beliau untuk terus bertanding di Teluk Intan tetapi menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, sesuatu yang agak menghairankan bagi DAP ialah parti itu sentiasa menukar calon baharu bertanding di Teluk Intan setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 10 PRU lalu.

"Semua calon DAP sama ada menang atau kalah (di Teluk Intan), mereka hanya bertanding untuk sepenggal sahaja, setiap kali PRU mesti muka baharu. Saya tidak tahu mengapa.

"Jadi ,saya tidak tahu siapa calon (DAP) yang akan bertanding, saya tidak kisah. Saya akan meneruskan kerja saya," katanya.

1039 dibaca
MAH Siew Keong diiringi Ketua Pegawai Operasi PR1MA, Datuk Ar Aminuddin Abdul Manaf (kiri) melihat replika projek perumahan PR1MA @ Teluk Intan ketika melawat Ekspo Jualan Perumahan Edisi Perak di Pusat Konvensyen Ipoh. - Foto Abdullah Yusof
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »