Sabtu, 3 March 2018 | 3:56pm
TAN Sri Dr Harussani Zakaria (tengah) menyampaikan ucaptama pada Muzakarah Kedaulatan Islam (MUKIM) anjuran Sekretariat Jaringan Ummah Negeri Perak, di Ipoh. Turut sama Pengerusi Sekretariat Jaringan Ummah Negeri Perak, Zulkifli Ibrahim (kiri) dan Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz. - Foto Abdullah Yusof
TAN Sri Dr Harussani Zakaria (tengah) menyampaikan ucaptama pada Muzakarah Kedaulatan Islam (MUKIM) anjuran Sekretariat Jaringan Ummah Negeri Perak, di Ipoh. Turut sama Pengerusi Sekretariat Jaringan Ummah Negeri Perak, Zulkifli Ibrahim (kiri) dan Pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz. - Foto Abdullah Yusof

Gesa pinda enakmen pentadbiran agama Islam negeri

IPOH: Semua kerajaan negeri dicadang meminda enakmen pentadbiran agama Islam negeri masing-masing dengan memasukkan peruntukan tambahan yang memberi kuasa Mahkamah Syariah mendengar permohonan bagi semakan kehakiman.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata kuasa diberikan kepada Mahkamah Syariah itu untuk mendengar permohonan bagi semakan sebarang keputusan dibuat majlis agama atau jawatankuasa yang menjalankan fungsi majlis agama.

Beliau berkata, pindaan itu sudah dilakukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Mei 2015.

Katanya, DUN Selangor meminda enakmen dengan memasukkan peruntukan baharu Seksyen 66A dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Pindaan 2015) iaitu Seksyen 66A mengenai bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah bagi semakan kehakiman.

"Langkah ini supaya dapat melindungi kepentingan orang Islam dan tidak memberi sebarang ruang untuk dibawa ke mahkamah sivil dalam memutuskan perkara berkaitan orang Islam.

"Kes ini seharusnya menjadi isyarat kepada pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa agama negeri untuk segera memperkemaskan undang-undang syariah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Pembatalan Keislaman Kanak-Kanak Di Bawah Umur: Implikasi Perundangan Syariah dan Dakwah Islamiyah' pada Muzakarah Kedaulatan Islam (MUKIM) anjuran Sekretariat Jaringan Ummah Perak di Institut Tadbiran Islam (INTIM) Perak di sini, hari ini.

MUKIM dianjurkan bagi membincangkan isu penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam diputuskan terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang oleh Mahkamah Persekutuan.

Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin pada 29 Januari lalu membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir dibuat Indira berhubung kesahihan penukaran agama tiga anaknya iaitu Tevin Darsiny, 21, Karan Dinish,20, dan Prasana Diksa, 9, kepada Islam.

MUKIM dirasmikan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria dan seorang lagi ahli panel yang turut diundang ialah pensyarah Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz.

Sementara itu, Shamrahayu pula menasihatkan pihak berkuasa agama negeri memperkemas prosuder pemelukan Islam membabitkan kanak-kanak supaya ia tidak boleh dipertikaikan.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Jaringan Ummah Perak, Zulkifli Ibrahim berkata, lima resolusi dicapai melalui muzakarah itu iaitu perlunya Mahkamah Syariah dan Jabatan Agama Islam diperkasakan; meningkatkan kesedaran masyarakat menyokong kedaulatan syariah; mengupaya pendidikan dan kebajikan muallaf; menangani sikap anti Islam dan penyebaran doktrin pluralisme serta kesatuan Islam merentas fahaman politik.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X