Selasa, 6 March 2018 | 11:42am

Keputusan STPM 2017 catat peningkatan

PUTRAJAYA: Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2017 menunjukkan peningkatan dengan catatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) nasional meningkat kepada 2.76 berbanding 2.71 pada 2016.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Datuk Seri Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan PNGK nasional yang memberangsangkan dalam semua kriteria pengukuran pencapaian berbanding STPM 2016.

PROF Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak (kiri) bersama Ketua Eksekutif Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Mohd Fauzi Mohd Kassim ketika majlis pengumuman keputusan peperiksaan STPM Tahun 2017 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata, peningkatan itu mengatasi semua pencapaian sejak STPM modular diperkenalkan pada 2013.

Katanya, peningkatan itu membabitkan PNGK Nasional, PNGK 3.50 ke atas, PNGK 3.00 ke atas, PNGK 2.75 ke atas, PNGK 2.50 ke atas, PNGK 2.00 ke atas, peningkatan peratus lulus penuh pada lima dan empat mata pelajaran serta peratus lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran dengan gred C ke atas.

"Bilangan calon memperoleh PNGK 3.50 ke atas bertambah kepada 6,408 orang iaitu 14.89 peratus berbanding 6,137 calon (14.20 peratus) pada 2016.

"Peratusan calon mendapat PNGK 3.00 ke atas juga meningkat kepada 40.48 peratus (17,423 calon) pada 2017 berbanding 37.62 peratus (16,263 calon) pada 2016.

"Bagaimanapun, peratusan calon mendapat PNGK 4.00 sedikit menurun iaitu kepada 1.13 peratus atau 485 calon berbanding 1.31 peratus (565 calon) pada 2016.

"Namun, saya menjangka peluang lepasan STPM 2017 untuk diterima masuk ke universiti awam adalah lebih besar kerana peningkatan dan bilangan calon mendapat PNGK 2.75 ke atas adalah tinggi iaitu 55.19 peratus berbanding 51.83 peratus pada 2016," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2017 di sini, hari ini.

Beliau berkata, bilangan dan peratusan calon mendapat 5A dan 4A menurun kepada 521 calon (1.21 peratus) pada 2017 berbanding 575 calon (1.33 peratus) pada 2016.

"Bagaimanapun, peratusan calon mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat kepada 72.02 peratus berbanding 71.88 peratus pada 2016.

"Peningkatan ini juga memberi gambaran bahawa pencapaian calon Tingkatan Enam di sekolah kerajaan kini semakin baik, dipercayai hasil pelaksanaan inisiatif Pemerkasaan Tingkatan Enam yang giat diusahakan Kementerian Pendidikan," katanya.

Mohamed Mustafa berkata, secara keseluruhan, semua 22 mata pelajaran ditawarkan dalam STPM 2017 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 70 peratus, iaitu gred C dan ke atas.

"Sebagai menghargai pencapaian cemerlang sekolah yang mempunyai Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi, MPM memberikan sijil penghargaan kepada 10 sekolah kerajaan terbaik pada STPM 2017," katanya.

10 Sekolah Terbaik STPM 2017

1. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang, Selangor

2. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas, Kelantan

3. SMK Hua Lian, Taiping, Perak

4. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Mohd Said, Seremban, Negeri Sembilan

5. SMK Sacred Heart, Sibu, Sarawak

6. SMK Padang Saujana, Jerantut, Pahang

7. SMK Kangkong, Pasir Mas, Kelantan

8. SMA Maarif, Besut, Terengganu

9. SMK Sultan Ibrahim (2), Pasir Mas, Kelantan

10. SMK Tengku Mahkota, Muar, Johor

PELAJAR SMK Tengku Panglima Raja, Pasir Mas bergambar selepas mengambil keputusan STPM 2017. Sekolah ini antara tiga buah sekolah di Kelantan yang diumumkan sebagai Sekolah Terbaik Peringkat Nasional oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) dengan semua calon seramai 95 orang mendapat A dan PGNK 4.0. - Foto Fathil Asri
PELAJAR SMK ST Thomas, Kuching meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang dalam STPM 2017. - Foto Nadim Bokhari
TAN Yong Sin berswafoto bersama rakan-rakan selepas menerima keputusan STPM di SMK Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan. - Foto Zulkepli Osman
REAKSI Anum Umardi, 19, selepas melihat keputusannya selepas pengumuman keputusan STPM 2017 di Kolej Tingkatan 6 Petaling Jaya. - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X