Rabu, 7 March 2018 | 3:55pm

Cukai hartanah tertakluk kepada dasar kerajaan negeri

PUTRAJAYA: Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) tidak terbabit dalam penentuan cukai taksiran harta tanah negeri kerana ia dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ketua Pengarahnya, Nordin Daharom, berkata penentuan jumlah cukai berkenaan tertakluk kepada dasar kerajaan negeri masing-masing, khususnya melalui Kaedah Tanah Negeri.

"JPPH berperanan sebagai penasihat kepada kerajaan negeri dalam mengesyorkan nilaian harta tanah yang berpatutan bagi pelbagai maksud seperti bayaran premium untuk menukar syarat, permohonan pemilikan tanah dan lanjutan pajakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas artikel dikeluarkan sebuah akhbar baru-baru ini, berkaitan cukai harta tanah di Selangor dan Pulau Pinang yang mendakwa kerajaan negeri tiada kuasa bagi urusan kenaikan cukai hartanah, sebaliknya diputuskan melalui taksiran JPPH di bawah Kerajaan Persekutuan.

Ahad lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Eddie Ng Tien Chee, dilaporkan berkata kerajaan negeri tiada kuasa bagi urusan kenaikan cukai hartanah di Selangor, sebaliknya diputuskan melalui taksiran JPPH.

Nordin berkata, penilaian sesuatu harta tanah adalah berasaskan kepada nilai pasaran yang bergantung kepada permintaan dan penawaran sesuatu jenis harta tanah iaitu bukti jual beli terkini di sesuatu kawasan berkenaan.

"Nilai pasaran berdasarkan harga jual beli harta tanah sebanding di kawasan sekitar. Salah satu pendekatan nilaian digunakan dalam menentukan nilai pasaran adalah kaedah perbandingan. Berdasarkan kaedah ini, jual beli yang sebanding di kawasan sekitar diambil kira dan dibuat pelarasan," katanya.

Beliau berkata, JPPH memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dengan memberikan perkhidmatan yang boleh dipercayai, menepati masa dan profesional terutama sebagai penasihat dan pakar runding kepada kerajaan dan agensinya dalam segala aspek berkaitan dengan penilaian, perundingan dan perkhidmatan harta.

Katanya, fungsi dan tugas JPPH termaktub di bawah Akta Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta 1981 (Akta 242) yang turut memperuntukkan bahawa Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta dilantik sebagai Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta, Malaysia.

Berita Harian X