Rabu, 7 March 2018 | 4:07pm
ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin (kanan) menyerahkan wang bantuan ihsan kepada mangsa banjir di Pejabat Daerah dan Tanah Pokok Sena sambil diperhatikan Datuk Muhammad Yusoff Wazir (dua dari kanan). - Foto Zuliaty Zulkiffli

NADMA sedia hadapi bencana ketika PRU-14

ALOR SETAR: Seramai 100,000 anggota agensi penyelamat dan keselamatan di negara ini diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku termasuk bencana menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Ketua Pengarah, Sektor Pengurusan Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Muhammad Yusoff Wazir, berkata persiapan anggota semua agensi itu dilakukan berikutan perubahan cuaca di negara ini tidak menentu dan pihaknya bergantung pada ramalan dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Beliau berkata, pada awal Mac, biasanya negara bebas sebarang bencana tetapi cuaca pada ketika ini tidak menentu.

"Semua anggota dari pelbagai agensi iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan akan mengundi pos.

"Jadi, mereka akan bersiap sedia menjalankan tugas ketika PRU-14 untuk memastikan kelancaran proses mengundi nanti.

"Cuti semua anggota juga mungkin dibekukan sebagai persiapan jika berlaku bencana alam termasuk ribut dan sebagainya," katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Banjir Daerah Pokok Sena, di Pejabat Tanah dan Daerah Pokok Sena di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan Pegawai Daerah Pokok Sena, Faudzi Ahmad.

Pada program itu, seramai 168 mangsa banjir di dua mukim di daerah itu masing-masing menerima RM500 seorang untuk bantuan banjir tahun lalu.

Sementara itu, Muhammad Yusoff berkata, pihaknya juga memperuntukkan RM50 juta untuk membeli keperluan peralatan untuk semua agensi penyelamat dan keselamatan tahun lalu termasuk 500 bot yang dalam proses penghantaran serta ada yang sudah diserahkan kepada agensi terbabit.

"Tahun ini kita bercadang menambah lagi keperluan yang belum ada untuk agensi berkaitan bagi memudahkan operasi membantu dan menyelamat dilakukan," katanya.

Berita Harian X