Rabu, 7 March 2018 | 6:01pm
FOTO hiasan.

Parlimen: 'Beli jiwa' sampai tahap 'kencing manis'

KUALA LUMPUR: Janji ditabur pembangkang untuk mengekalkan cengkaman di negeri ditadbir disifatkan sebagai 'gula-gula' pilihan raya sehingga mengundang kemudaratan.

Anuar Manap (BN-Sekijang) berkata, kemudaratan sehingga tahap 'kencing manis' itu dicerminkan dalam janji dijaja pembangkang ketika mengumumkan pembinaan Perumahan Generasi Kedua FELDA (PGKF) di Felda Sungai Tengi, Kuala Kubu Bharu, dekat Selangor.

Katanya, pengumuman 'membeli jiwa' peneroka itu disusuli majlis pecah tanah pada Oktober 2012 bagi membina PGKF dan disempurnakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu diberi jolokan 'Penasihat Ekonomi Seringgit Selangor'.

"Ia disambut pula Pengerusi Biro FELDA PKR, Ahli Parlimen Bukit Katil (Shamsul Iskandar Mohd Akin) yang menyatakan pembinaan 200 unit rumah PGKF akan bermula pada 2012, iaitu tahun berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

"Sampai 2014, bayang rumah PGKF di Sungai Tengi langsung tidak kelihatan, sebaliknya Menteri Besar Selangor ketika itu (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) dijatuhkan pasca Langkah Kajang.

"PGKF kembali menjadi perbualan hangat ketika Ahli Parlimen Gombak (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) diangkat menjadi Menteri Besar baharu menjadikan Hulu Selangor sebagai antara kawasan terawal untuk lawatan kerjanya.

"Azmin umum di hadapan 139 peneroka yang menerima surat hak milik tanah, mendakwa sudah mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) membina PGKF pada Jun 2016," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tanpa celahan daripada pembangkang termasuk Shamsul yang ketika itu dikatakan berada di luar dewan, Anuar meneruskan hujahan dengan membidas Ahli Parlimen Bukit Katil merangkap Naib Presiden PKR itu kerana mengulangi pencapaian PGKF pada 19 Januari lalu.

Anuar yang juga bekas Presiden Majlis Belia FELDA Malaysia berkata, PGKF dicanang sebagai pencapaian Kerajaan Selangor, namun sehingga kini tiada pembinaan fizikal terhadap projek perumahan berkenaan.

"Akhirnya, pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2018 pada November 2017, Azmin sekali lagi mengumumkan pembinaan PGKF di Sungai Tengi akan dibuat pada 2018.

"Pengumuman demi pengumuman, sampailah 2018 yang bakal menyaksikan PRU-14, PGKF Sungai Tengi hanya modal politik bagi mereka.

"Bukankah kisah ini adalah sekadar menanam tebu di pinggir bibir? Begitulah manisnya janji pembangkang kepada penduduk FELDA.

"Saya tidak terkejut jika pelancaran manifesto PRU-14 esok sarat dengan janji yang jauh lebih manis daripada sebelum ini, malah mungkin hinggap sanggup menabur angan-angan untuk menghapuskan keseluruhan hutang pinjaman peneroka," katanya.

Berita Harian X