Khamis, 8 March 2018 | 6:32pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerima memorandum daripada Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak ketika menerima kunjungan jawatankuasa tertinggi NUTP di Putrajaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Kementerian kaji 23 cadangan NUTP - Mahdzir

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan akan meneliti 23 perkara dicadangkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) untuk dimasukkan dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beberapa jawatankuasa akan ditubuhkan di peringkat kementerian untuk meneliti semua cadangan berkenaan, sebelum dimuktamadkan.

"Niat NUTP ini baik untuk membantu kementerian dan masyarakat di luar sana supaya permuafakatan guru serta ibu bapa lebih positif dan tidak ada lagi insiden seperti ibu bapa membawa guru ke mahkamah atau pergaduhan.

"Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga ini untuk ibu bapa, waris atau penjaga berurusan dengan pihak sekolah. Ia bukan saja untuk membela nasib guru, tetapi lebih utama, mengharmonikan hubungan di sekolah," katanya selepas menerima kunjungan jawatankuasa tertinggi NUTP diketuai Presidennya, Kamarozaman Abd Razak bagi menyerahkan kertas cadangan berkenaan di Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Sementara itu, Kamarozaman berkata, cadangan kod etika itu membabitkan 15 perkara untuk dipatuhi dan lapan perkara untuk dihindari adalah hasil maklum balas pelbagai pihak.

Beliau berkata, antaranya termasuk daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) melalui Naib Pengerusi Kanannya, Tan Sri Lee Lam Thye; Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) serta kesatuan guru Sabah dan Sarawak.

"Antara cadangan bagi kod etika ini adalah ibu bapa tidak dibenar membawa senjata termasuk topi keledar ke kawasan sekolah, penggunaan media seperti Facebook dan WhatsApp mesti mengikut peraturan supaya tidak berleluasa, selain ibu bapa mesti memohon kebenaran Guru Besar dan Pengetua untuk berjumpa guru serta murid di sekolah," katanya.

Berhubung trend laporan polis dibuat ibu bapa terhadap guru dan sekolah, Kamarozaman berkata, ia semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

"Polis memaklumkan memang ada laporan, cuma tidak diperbesarkan. Kita mahu pendidikan tetap pendidikan, bukan untuk mencari musuh antara guru dan ibu bapa," katanya.

Berita Harian X