Khamis, 8 March 2018 | 11:58pm
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad di Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad di Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam. - Foto Roslin Mat Tahir

Manifesto PH: Tak mansuh PTPTN, lanjutkan tempoh bayar

SHAH ALAM: Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH) tidak menawarkan pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), seperti mana yang dijanjikan pada PRU-13.

Sebaliknya, manifesto PH kali ini tetap meneruskan PTPTN itu, tetapi tempoh bayaran balik kepada peminjam dilanjutkan sehingga mereka mencapai pendapatan bulanan sebanyak RM4,000 sebulan.

Janji itu adalah antara 10 perkara yang akan dilakukan PH dalam tempoh 100 hari jika berjaya memenangi PRU-14 yang diumumkan di Majlis Pelancaran Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) PH di sini, malam ini.

Ucapan majlis pelancarannya disempurnakan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad (lima dari kanan) bersama barisan kepimpinan Pakatan Harapan di Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam. - Foto Muhammad Sulaiman

Janji lain yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari ialah menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan mengawal kenaikan harga keperluan barangan asas; memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar serta mengenal pasti hutang peneroka FELDA yang boleh dimansuhkan.

Janji lain ialah memperkenalkan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (KWSP) untuk suri rumah; mengarahkan Majlis Konsultasi Gaji Negara menyamaratakan gaji minimum; menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja 1Malaysia Development Berhad (1MDB), FELDA dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja Mengkaji Perlaksanaan Adil Perjanjian Malaysia 1963.

PH turut menjanjikan penubuhan Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat untuk merangka pelan pembentukan masyarakat pelbagai kaum yang harmonis dan moderat serta akan melancarkan kajian terperinci mengenai projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.

Berita Harian X