Sabtu, 10 March 2018 | 11:22am

PM beramah mesra dengan Orang Asli

MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sentosa, Lenga di sini.

Perdana Menteri tiba kira-kira jam 9.30 pagi tadi dengan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed.

Ketibaan Perdana Menteri disambut kita-kira 300 penduduk kampung Orang Asli terbabit dan turut diberikan sambutan mengikut adat masyarakat itu dengan dipakai dengan setanjak dan selempang yang diperbuat daripada daun kelapa yang dipakaikan sendiri oleh Tok Batin Kampung Orang Asli Sentosa, Ayu Enn.

Perdana Menteri kemudian dibawa ke gelanggang futsal bagi melihat kemudahan asas yang baharu dibina bagi kegunaan masyarakat khususnya golongan muda di kampung berkenaan.

Sempena lawatan itu Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 bagi memasang kemudahan lampu limpah bagi membolehkan aktiviti bermain futsal ini boleh dilakukan pada waktu malam.

"Ini adalah sebahagian daripada program Negaraku. Maka hari ini saya dapat melihat keadaan di Kampung Sentosa di sini di mana masyarakat tempatan sudah lama menunggu sebuah gelanggang futsal.

"Maka bagi program ini, kita dah ambil tindakan untuk membina gelanggang futsal ini dan atas permintaan masyarakat kampung di sini, maka sukacita saya umumkan kelulusan peruntukan tambahan sebanyak RM20,000 untuk mendirikan lampu limpah untuk gelanggang futsal ini," katanya.

Beliau berkata, kemudahan tambahan itu akan membolehkan masyarakat di kampung terbabit khususnya golongan belia dapat beriadah dengan bermain futsal pada waktu malam.

"Ini contoh bagaimana kerajaan amat prihatin dalam usaha kita memastikan setiap yang kita lakukan itu dapat sampai kepada setiap golongan dan dengan cara seperti ini, mereka akan dapat mengecapi kualiti hidup yang lebih sempurna lagi," katanya.

NAJIB ditemani Mohamed Khaled diraikan Tok Batin Ayu Enn ketika tiba pada majlis ramah mesra di Kampung Sentosa Orang Asli, Lenga. - Foto Osman Adnan
Berita Harian X