Ahad, 11 March 2018 | 2:34pm
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lim Lam Thye. - Foto Mikail Ongs

Kod etika urusan ibu bapa, sekolah wajar disegerakan

KUALA LUMPUR: Usaha Kementerian Pendidikan meneliti 23 perkara dicadangkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) untuk dimasukkan dalam Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga wajar dipuji kerana langkah itu dapat menjaga hubungan baik di antara waris dan tenaga pengajar.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lim Lam Thye, berkata ibu bapa perlu membabitkan diri dalam proses mendisiplinkan anak-anak dan pihak sekolah hendaklah memaklumkan kesalahan dilakukan pelajar mereka supaya jenis hukuman boleh dibincangkan bagi mengelakkan kecederaan atau trauma berpanjangan.

"Tidak dinafikan masalah disiplin dalam kalangan pelajar boleh mengeruhkan hubungan di antara kedua-dua belah pihak, sekiranya tidak dibendung, namun ibu bapa berhak tahu perihal anak-anak mereka di sekolah supaya masing-masing tidak 'melompat' sekiranya anak mereka dihukum.

"Justeru itu, kod etika yang dicadangkan boleh menjadi panduan tatacara bagi ibu bapa semasa berurusan dengan pihak sekolah sekaligus melindungi guru daripada tindakan ganas waris.

"Kod ini sewajarnya dilaksanakan secepat mungkin supaya hubungan di sekolah lebih teratur dan harmoni," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Lam Thye berkata, platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Telegram membantu mewujudkan hubungan erat di antara pihak sekolah dan ibu bapa.

"Guru boleh berhubung dengan ibu bapa untuk melaporkan sebarang perkembangan dan persekitaran anak di sekolah, namun diharapkan saluran media sosial yang ada, tidak disalah guna dan mestilah mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Penguatkuasaan undang-undang mesti diketatkan bagi membantu pihak sekolah membendung masalah disiplin pelajar menerusi kempen kesedaran dan bagi mengelakkan penularan gejala penyalahgunaan dadah, samseng dan keganasan," katanya.

Sebelum ini, kod etika yang membabitkan 15 perkara untuk dipatuhi dan lapan perkara untuk dihindari adalah hasil maklum balas pelbagai pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), peguam, badan bukan kerajaan (NGO) seperti MCPF, Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) serta kesatuan guru Sabah dan Sarawak.

Berita Harian X