Ahad, 11 March 2018 | 2:59pm
DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek menanam pokok durian musang king pada Majlis Perasmian Projek Perintis Ladang Durian Musang King di Felda Neram 1. - Foto Rosli Ilham
DATUK Seri Ahmad Shabery Cheek menanam pokok durian musang king pada Majlis Perasmian Projek Perintis Ladang Durian Musang King di Felda Neram 1. - Foto Rosli Ilham

Tanam Musang King tingkat pendapatan peneroka FELDA

CHUKAI: Kerajaan akan melaksanakan projek penanaman durian Musang King di kawasan FELDA dalam usaha meningkatkan pendapatan peneroka.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kawasan FELDA Neram 1 di sini akan menjadi perintis dengan tanaman fasa pertama membabitkan 600 pokok.

Beliau berkata, hasil durian Musang King adalah sumber pendapatan baharu rakyat di Malaysia berikutan permintaan tinggi daripada negara lain, terutama China.

"Selain kelapa sawit, projek rintis tanaman Musang King di FELDA Neram 1 bakal menjadi sumber kekayaan kepada pengusahanya.

"Projek ini juga akan dilaksanakan di FELDA Neram 2, FELDA Cherul 1 dan 2, FELDA Seberang Tayur serta FELDA Kerteh 5 dan 6," katanya selepas merasmikan Projek Perintis Ladang Durian Sumber Kekayaan Baharu di FELDA Neram 1 di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap kawasan tanaman yang akan dilaksanakan itu membabitkan keluasan kira-kira 20 hektar.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, kajian dijalankan mendapati selain Musang King, tanaman nanas MD2 dan kelapa turut menjadi sumber kekayaan baharu kepada pengusahanya.

"Oleh itu, kita mahu peneroka menanam Musang King dan nanas MD2 kerana mampu menjana pendapatan cukup baik kepada pengusaha serta anak cucu mereka," katanya.

Beliau berkata, pendapatan tahunan bagi satu hektar getah ialah RM4,000, kelapa sawit (RM17,500) dan kelapa (RM37,500).

"Tanaman padi pula ialah RM7,500 sehektar, manakala durian Musang King (RM155,250) dan nanas MD2 (RM127,378)," katanya.

Berita Harian X