Jumaat, 16 March 2018 | 4:34pm
PENDUDUK kampung mengusung jenazah Muhammad Adli Jalaludin yang meninggal dunia selepas pengsan di gelanggang futsal di Masjid Badlishah Parit Enam. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin
PENDUDUK kampung mengusung jenazah Muhammad Adli Jalaludin yang meninggal dunia selepas pengsan di gelanggang futsal di Masjid Badlishah Parit Enam. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin
AHLI keluarga menyiramkan air mawar ke atas kubur Allahyarham Muhammad Adli Jalaludin di Tanah Perkuburan Islam Parit Lima, Sungai Panjang. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin
AHLI keluarga menyiramkan air mawar ke atas kubur Allahyarham Muhammad Adli Jalaludin di Tanah Perkuburan Islam Parit Lima, Sungai Panjang. - Foto Amirul Aiman Hamsuddin

'Dunia terasa gelap seketika'

SUNGAI BESAR: "Tak sampai 10 minit main futsal, dia rebah di tengah gelanggang dan sesak nafas.

"Kami segera membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam, namun doktor yang memeriksa mengesahkan rakan kami sudah tiada."

Bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) di sini. Muhammad Adli Jalaludin, 18, bersama-sama beberapa rakannya bermain futsal bagi meraikan kejayaan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masing-masing kira-kira jam 5 petang semalam.

Bagaimanapun, dia dikatakan hanya sempat beraksi kira-kira 10 minit sebelum rebah dalam kejadian jam 5.40 petang.

Rakannya, Muhd Aizal Ros Azelan, 18, berkata Allahyarham ceria dengan keputusan SPM diperoleh yang sederhana cemerlang.

"Kami ambil keputusan di sekolah pagi semalam dan dia nampak riang mengusik kawan-kawan.

"Tahu-tahu petang yang sama, dia rebah di depan mata saya dan ketika doktor sahkan dia dah tak ada, dunia saya terasa gelap seketika," katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi rakan, Muhammad Azib Azman, 18, mengenang Muhammad Adli sebagai berkeperibadian murni dan tidak lokek membantu rakan sekolah.

"Sepanjang hayatnya, arwah tak pernah menyakiti hati kami dan kerap membantu rakan membuat latih tubi dalam mata pelajaran Matematik.

"Dia ada sebut untuk menyambung pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tapi takdirnya berbeza," katanya.

Jenazah Muhammad Adli disembahyangkan di Masjid Badlishah Parit Enam jam 10 pagi tadi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Lima, Sungai Panjang, hari ini.

Berita Harian X