Sabtu, 17 March 2018 | 12:43pm
MALAYSIA Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan kira-kira 1.7 juta pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di Sepang, sempena musim cuti sekolah ini. - Foto Abd Rahim Rahmat

1.7j pergerakan penumpang di KLIA, klia2

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan kira-kira 1.7 juta pergerakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 di sini, sempena musim cuti sekolah ini.

MAHB dalam satu kenyataan berkata, jumlah itu adalah bagi penumpang yang tiba dan berlepas di kedua-dua lapangan terbang berkenaan, bermula semalam hingga 25 Mac ini.

Katanya, peningkatan jumlah penumpang itu menyebabkan kesesakan berlaku di kaunter Jabatan Imigresen di balai berlepas antarabangsa KLIA, awal pagi semalam.

"Hingga semalam, anggaran bilangan penumpang yang terbang melalui terminal utama KLIA adalah sebanyak 86,130 penumpang membabitkan 435 penerbangan.

"Kita sudah menjangka kesesakan ini akan berlaku pada musim cuti sekolah terutama pada waktu puncak iaitu bermula jam 6 pagi hingga 10 pagi dan 12 tengah hari hingga 11 malam," kata syarikat itu hari ini.

MAHB berkata, seawal jam 6 hingga 8 pagi semalam sahaja, pihaknya mencatatkan sebanyak 46 pergerakan pesawat yang berlepas dan tiba di KLIA dengan membawa 12,276 penumpang.

Justeru bagi memastikan kelancaran pergerakan penumpang katanya, MAHB dan Jabatan Imigresen bekerjasama untuk membuka kaunter Imigresen yang mencukupi bagi memastikan waktu beratur dapat dipendekkan.

"Pihak imigresen juga membuka kaunter pelbagai atau 'common-counters' yang mampu memproses semua jenis dokumen perjalanan sama ada rakyat asing atau rakyat Malaysia.

"Setakat semalam, sebanyak 67 kaunter dibuka yang membabitkan kaunter pelepasan (30 kaunter) dan kaunter ketibaan (37 kaunter), selain enam pagar automatik di kedua-dua balai ketibaan dan pelepasan.

Sehubungan dengan peningkatan trafik, MAHB menasihatkan penumpang supaya tiba awal di lapangan terbang iaitu sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu pelepasan bagi mengelakkan kesesakan terutama sepanjang musim cuti sekolah ini.

"Penumpang juga dinasihatkan menggunakan kemudahan automatik yang disediakan seperti kiosk daftar masuk dan kaunter bagasi layan diri untuk mengelakkan kesulitan.

"Selain itu, mereka juga digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan bas di terminal utama berbanding menggunakan aerotrain dan penumpang boleh mendapatkan bantuan daripada duta lapangan terbang kami," kata syarikat itu.

Berita Harian X