Isnin, 19 March 2018 | 1:47pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Bual Bicara 'Orang Diparol' di Studio TV Al-Hijrah di Cyberjaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Bual Bicara 'Orang Diparol' di Studio TV Al-Hijrah di Cyberjaya, hari ini. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sistem parol Malaysia dapat perhatian

CYBERJAYA: Beberapa negara luar menyatakan minat mempelajari sistem parol yang dilaksanakan di negara ini, selepas didapati berkesan dalam mengurangkan kadar jenayah berulang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, negara seperti Jepun, Poland dan Kanada mahu mempelajari sistem parol acuan Malaysia selepas ia terbukti mampu menurunkan kadar jenayah berulang oleh banduan daripada 9.03 peratus kepada 0.48 peratus dalam tempoh 10 tahun dilaksanakan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata Malaysia mempelajari sistem itu daripada Kanada, United Kingdom dan Australia, yang kemudian disesuaikan mengikut cara di negara ini.

"Kita mengambil yang terbaik daripada ketiga-tiga sistem ini. Kini kita sedia berkongsi dengan mana-mana negara sama ada di ASEAN atau negara lain mengenai kejayaan kita.

"Walaupun belajar daripada negara yang lebih maju, kejayaan kita melebihi negara yang memulakan sistem ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media selepas menyertai rakaman Program Bual Bicara 'Orang Diparol' di Studio TV Al-Hijrah di sini, hari ini.

Sehingga kini, katanya, seramai 19,637 orang menjalani parol dan daripada jumlah itu, hanya 2.3 peratus melakukan kesalahan semula.

Ahmad Zahid berkata, antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan sistem parol di Malaysia termasuk penyediaan pusat tahfiz untuk banduan di penjara terpilih dan peluang kepada golongan itu melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

Beliau meminta masyarakat mengubah persepsi negatif terhadap bekas banduan dan memberikan mereka peluang kedua untuk berubah.

Program Bual Bicara 'Orang Diparol' sebanyak 16 siri akan mula disiarkan pada 13 April ini dan ia adalah kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri, Telekom Malaysia (TM) serta TV Al Hijrah, bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai sistem parol di Malaysia.

Berita Harian X