Isnin, 19 March 2018 | 5:06pm
MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berbual dengan seorang pesakit pada lawatan rasmi di Hospital Selayang hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Aizuddin Saad

Rawatan Hepatitis C percuma di 18 hospital kerajaan

SELAYANG : Seramai 2,000 pesakit kronik Hepatitis C bakal menikmati rawatan antiviral secara percuma di 18 hospital kerajaan seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata ada 23,000 pesakit Hepatitis C yang sudah berdaftar dengan kementerian untuk mendapatkan rawatan itu.

Katanya, rawatan yang dimulakan sejak dua minggu lalu disasar dapat memberi manfaat kepada seramai lebih 400,000 pesakit Hepatitis C di seluruh negara mengikut anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dengan sebilangan besar masyarakat belum tahu mereka menghidap penyakit itu.

"Rawatan berkenaan adalah pencapaian terbaik negara kerana menjadi negara pertama dunia menggunakan compulsory licence (CL) untuk rawatan hepatitis C.

"Ubat generik ini memberi makna besar kepada negara dan pesakit kerana ia boleh membunuh virus, pada masa sama menghalang ia daripada menjangkiti orang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Inisiasi Ubatan Direct Acting Antiviral (DAA) untuk rawatan Hepatitis C di Hospital Selayang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; Pengarah Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan, Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr Salmah Bahri dan Pengarah Hospital Selayang, Dr Siti Zaleha Mohd Salleh.

Beliau turut meluangkan masa melakukan lawatan ke wad Hepatologi di situ.

Katanya, hepatitis C atau penyakit berkaitan hati adalah adalah antara isu kesihatan awam yang besar.

Pesakit yang tidak dirawat berpotensi untuk mengidap penyakit lain berkaitan hati, termasuk kemungkinan mendapat barah hati.

Ia boleh berjangkit menerusi transfusi darah.

Dr Subramaniam, berkata DAA yang diimport dari Mesir dianggap sebagai kos efektif malah diyakini berupaya menyembuhkan penyakit hingga 95 peratus.

"Dulu untuk seorang pesakit kita menanggung kos hingga RM50,000 untuk 12 kali rawatan seorang, tetapi dengan ubat ini, kita berupaya mengurangkan hingga RM1,000 saja untuk seorang pesakit," katanya.

Dalam usaha menangani Hepatitis C, Kementerian giat menjalankan pemeriksaan darah bagi mengenal pasti individu dijangkiti supaya mereka mendapat rawatan sewajarnya.

Sementara itu mengulas mengenai insiden kebakaran di Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini, beliau berkata pihaknya sedang menunggu laporan forensik bomba.

Katanya, dalam langkah keselamatan, pihaknya turut melakukan audit pada semua hospital yang berusia lebih 20 tahun sejak tahun lalu.

"Kita turut memperkasakan kakitangan mengenai aspek keselamatan termasuk kebakaran dan ia dijalankan secara berterusan.

"Antara langkah kita selalu tekankan kepada kakitangan, ialah memadamkan sumber oksigen dan hentikan bekalan elektrik bagi mengelakkan risiko lebih teruk daripada berlaku," katanya.

Kebakaran berlaku Sabtu lalu didakwa disebabkan oleh litar pintas dan merebak dengan cepat kerana stor tempat berlaku kebakaran, turut digunakan untuk menyimpan banyak peralatan perubatan daripada plastik.

Berita Harian X