Isnin, 19 March 2018 | 5:23pm
MOHAMAD Khalil Ishak. - Foto Ibrahim Isa

Lebih 200 kematian di tempat kerja

JOHOR BAHRU: Kegagalan majikan dan pekerja mematuhi piawaian keselamatan di tempat kerja menyebabkan sebanyak 206 kes kematian berlaku di seluruh negara dalam tempoh 10 bulan pertama tahun lalu.

Perunding Keselamatan di tempat kerja, Mohamad Khalil Ishak, berkata mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), sebanyak 3,246 kes kemalangan dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh sama dengan 206 kematian, 133 hilang upaya kekal (HUK) dan 2,907 kes tidak hilang upaya kekal (THUK).

Katanya, sektor pengilangan mencatat jumlah tertinggi kemalangan sebanyak 1,691 kes membabitkan 1,559 THUK, 86 HUK dan 46 maut.

Sektor kedua terbanyak kes kemalangan adalah pertanian, perhutanan dan perikanan (393 kes) membabitkan 18 kematian, 366 THUK dan sembilan HUK, diikuti pembinaan 177 kes (63 kematian), 110 THUK dan empat HUK.

Sementara industri kewangan, insurans, harta tanah dan perkhidmatan perniagaan mencatat 113 kemalangan membabitkan tujuh kematian, 104 THUK dan dua HUK.

"Perak mencatat 465 kes kemalangan di tempat kerja membabitkan 427 THUK, 24 HUK dan 14 maut, diikuti Sarawak 354 kemalangan, 320 THUK, empat HUK serta 30 kematian dan Kedah 327 kemalangan babitkan 293 THUK; 25 HUK dan sembilan kematian.

"Selangor mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 41 orang, diikuti Johor (32) dan Sarawak (30). Majikan dan pekerja di Labuan pula paling disiplin apabila hanya mencatat lima kes THUK diikuti Perlis yang mencatat satu kematian dan 20 THUK dan ketiga, Terengganu (48 THUK), tiga HUK dan tiga kematian.

"Hasil siasatan, kebanyakan kes berlaku disebabkan kegagalan majikan menyediakan peralatan keselamatan terkini, persekitaran sesuai dan selamat seperti tidak menutup lubang, memasang penghalang di tempat tinggi, keadaan di kawasan industri terlalu bising hingga pekerja tidak boleh mendengar amaran," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohamad Khalil berkata, dalam sektor pertanian pula kegagalan majikan menyediakan peralatan keselamatan seperti kasut dan pakaian sesuai menyebabkan 18 pekerja sektor berkenaan meninggal dunia dalam tempoh sama.

Katanya, ada juga kes majikan menyediakan peralatan keselamatan, malangnya pekerja pula enggan memakai peralatan itu dengan alasan tidak selesa ketika bertugas.

"Kami tidak menyalahkan majikan semata-mata. Bagaimanapun kami dapati masih ramai majikan bersikap lepas tangan apabila seorang daripada pekerja cedera akibat kegagalan mereka menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan selesa.

401 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »