Selasa, 20 March 2018 | 3:21pm
DATUK Seri Mahdzir Khalid ketika menyampaikan anugerah kepada Zulkafly Othman (dua dari kanan) pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Perdana PICC, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
DATUK Seri Mahdzir Khalid ketika menyampaikan anugerah kepada Zulkafly Othman (dua dari kanan) pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 Kementerian Pendidikan Malaysia di Dewan Perdana PICC, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Perangai Guan Eng seperti ahli politik jalanan - Mahdzir

PUTRAJAYA: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang cuba menyebarkan politik kebencian dalam kalangan pelajar sekolah tidak ubah seperti seorang ahli politik jalanan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata tindakan Guan Eng mengajar rentak lagu anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada pelajar di sebuah pusat tuisyen di Pulau Pinang, baru-baru ini, tidak sepatutnya dilakukan seorang yang bertaraf ketua menteri.

"Jika beliau ahli politik jalanan, tidak mengapalah. Ini beliau berjawatan ketua menteri di sebuah negeri, mana boleh (berkelakuan) begitu.

"Perangai beliau ini sama macam ahli politik jalanan juga," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 kementeriannya di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 478 kakitangan menerima anugerah atas kecemerlangan perkhidmatan mereka sepanjang 2017.

Mahdzir berkata demikian ketika mengulas satu video dimuat naik di Facebook milik sebuah akhbar berbahasa Cina yang memperlihatkan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengajar rentak lagu mengenai GST pada pelancaran Tuisyen Rakyat Pulau Pinang, baru-baru ini.

Video berdurasi 32 saat yang viral sejak hujung minggu lalu itu memaparkan seolah-olah GST memberi kesan buruk kepada rakyat.

Mahdzir berkata, walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, namun ia tidak boleh menjadi tiket untuk Guan Eng dan DAP bertindak sewenang-wenangnya dalam berpolitik.

"Semua perkara hendak dipolitikkan dan kemudian mengambil kesempatan pada program seperti di pusat tuisyen ini untuk membenci orang lain.

"Dalam negara majmuk seperti Malaysia, kita mesti berpolitik yang membawa kepada perpaduan, bukan politik kebencian," katanya.

Sementara itu, Mahdzir berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan dan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa berhubung laporan sebuah akhbar mendakwa terdapat pelajar sekolah melanggan pelacur di beberapa premis di ibu negara.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X