Selasa, 20 March 2018 | 7:13pm

'Biarlah dia dengan perangai hodohnya'

MELAKA: Datuk Seri Najib Razak menyelar tindakan pemimpin utama pembangkang yang didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak supaya membenci kerajaan demi kepentingan politik mereka.

Walaupun tidak menamakan pemimpin terbabit, Perdana Menteri dipercayai merujuk kepada tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang mengajar rentak lagu anti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada murid di sebuah pusat tuisyen di negeri itu, baru-baru ini.

Beliau berkata, tindakan itu secara tidak langsung menyemai kebencian kepada kerajaan dalam kalangan kanak-kanak.

"Tindakan terbabit bercanggah dengan kehendak kerajaan yang mahu menanam nilai murni kepada golongan muda sejajar dengan Transformasi Negara 2050 (TN50).

"Bukan sebaliknya seperti dilakukan seorang pemimpin utama pembangkang di sebuah negeri di utara tanah air yang sanggup mempergunakan kanak-kanak untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan dengan terkinja-kinja menyanyi lagu Cukai Barang dan Perkhidmatan.

"Biarlah dia dengan perangai hodohnya... kita teruskan perjuangkan nasib kanak-kanak," katanya ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek Pusat PERMATA Kurnia Zon Selatan, di Rumahku Syurgaku (RKSK) Bukit Katil, di sini, hari ini.

Melaka menjadi lokasi kedua penubuhan Pusat PERMATA Kurnia dengan kos RM5 juta, sekali gus dapat memberi manfaat kepada kira-kira 250 kanak-kanak autisme dari tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (tengah) menyampaikan anugerah koperasi berpotensi 2018 kepada Koperasi Profesional Putrajaya Berhad sambil diperhatikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua dari kiri) pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Baru-baru ini, satu video dimuat naik di Facebook milik sebuah akhbar berbahasa Cina yang memperlihatkan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mengajar rentak lagu mengenai GST pada pelancaran Tuisyen Rakyat Pulau Pinang.

Video berdurasi 32 saat yang tersebar sejak hujung minggu lalu itu memaparkan seolah-olah GST memberi kesan buruk kepada rakyat.

Polis juga sudah membuka kertas siasatan ke atas Guan Eng kerana didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak demi kepentingan politik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, dilaporkan berkata kes kini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (kanan) menerima cenderamata daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (dua dari kiri) sambil diperhatikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron (kiri) pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (dua dari kiri) melawat gerai koperasi diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kiri) pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2018 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. - Foto Rasul Azli Samad

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X