Khamis, 22 March 2018 | 3:36pm
NAJIB bersama Musa ketika melakukan tinjauan di tapak pembinaan Jambatan Kampung Pukak Kiulu yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembinaan Jalan raya Telipok-Kiulu-Randagong. - Foto Edmund Samunting

Kedatangan PM buka lembaran baharu bagi Kiulu

KIULU: Kerajaan negeri Sabah menyifatkan kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke kawasan ini sebagai satu sejarah yang bakal membuka lembaran baharu untuk Kiulu ke arah menjadi sebuah daerah kecil yang maju.

Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman, berkata kehadiran Perdana Menteri untuk meninjau pembinaan Jalan Telipok-Kiulu-Rondogung, Ranau di Kampung Pukak, di sini, turut mengesahkan bahawa Kiulu mendapat tempat di hati Najib.

"Hari ini sejarah kepada Kiulu, Najib adalah Perdana Menteri yang pertama menjejakkan kaki di Kiulu..memang bertuah orang Kiulu, ia bukan saja membuka lembaran baharu bagi Kiulu tetapi mengesahkan betapa Kiulu mendapat tempat di hati Perdana Menteri.

"Beliau turut membantu pembangunan dengan pembinaan jalan raya. Inilah yang dikatakan sebagai pemangkin perubahan, pembangunan yang boleh menggalakkan pelancongan, memudahkan pemasaran pertanian rakyat, merancakkan pembangunan dan meningkatkan harga tanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena tinjauan pembinaan Jalan Telipok-Kiulu-Rondogung, Ranau oleh Perdana Menteri, di sini, hari ini.

NAJIB diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah Datuk Amrullah Kamal berkenaan Projek Pembinaan Jalan raya Telipok-Kiulu-Randagong. - Foto BERNAMA

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Sain, Teknologi dan Inovasi yang juga Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.

Musa berkata, pelaksanaan projek pembinaan jalan raya bernilai RM288 juta sepanjang 60 kilometer itu bukan saja meningkatkan kecekapan perhubungan, malah menjadi pemangkin ekonomi yang sesuai dengan perubahan semasa kawasan ini.

Katanya, usaha itu tidak menjadi masalah dengan adanya kerjasama kuat dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) khususnya di kawasan ini untuk sama-sama membangunkan kawasan masing-masing.

Dua minggu lalu, Musa mengumumkan kelulusan kerajaan negeri untuk menaik taraf kawasan ini sebagai sebuah daerah kecil baharu di Tuaran yang disifatkannya bakal mempercepatkan lagi perubahan di samping perhatian diberikan Perdana Menteri.

Sementara itu, Madius berkata jalan baharu itu akan menjadi laluan penting pengangkutan menghubungkan kawasan pedalaman seperti Keningau dan Ranau selain Kota Marudu dengan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di Telipok, Kota Kinabalu.

"Selepas ini pekan Kiulu akan menjadi laluan penting dari Ranau, maka ia akan menjadi pekan yang hidup, Kampung Pukak lepas ini akan menjadi sebuah pekan, begitu juga yang lain.

"Ia juga membantu perkembangan enjin pertumbuhan di sini iaitu pelancongan selain mempelbagaikan lagi aktiviti sedia ada," katanya.

Katanya, rakyat kawasan ini amat bersyukur dengan pembinaan jalan raya berkenaan selepas usaha memohon pelaksanaannya selama hampir 20 tahun lalu menjadi kenyataan dengan kelulusan diberikan Najib.

Pembinaan jalan raya baharu itu bermula pada Oktober 2016 dan dijadualkan siap pada Mac tahun depan.

Berita Harian X