Khamis, 22 March 2018 | 4:04pm
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri. - Foto Saddam Yusoff

Peraturan menyusahkan teksi dihapus

KUALA LUMPUR: Garis panduan operasi yang selama ini membebankan pemandu teksi akan terhapus sebaik saja akta perkhidmatan e-hailing diwartakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata akta yang akan diwartakan selewat-lewatnya Jun ini bakal mewujudkan persaingan sama rata dalam kalangan pemandu teksi, Uber dan Grabcar.

Beliau berkata, menerusi garis panduan operasi baharu itu, pemandu teksi hanya perlu menghantar kenderaan ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) sekali setahun, berbanding setiap enam bulan.

"Syarat yang selama ini sering dilabel menyusahkan pemandu teksi, sekali gus memberi bebanan terhadap pengoperasian mereka akan terhapus apabila akta perkhidmatan e-hailing diwartakan.

"Jadi, tiada lagi kerenah garis panduan operasi yang menuntut pemeriksaan di PUSPAKOM dan penggantian tayar mengikut peruntukan lama.

"Bayaran untuk semua operator e-hailing pula adalah sama," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Ghapur membangkitkan rungutan pemandu teksi bahawa 'periuk nasi' mereka terjejas susulan kemunculan operator Grabcar dan Uber di Sabah, malah amarah itu dilemparkan terhadap kerajaan yang disifatkan hanya 'berpeluk tubuh' berhubung isu terbabit.

Menyedari masalah semakin meruncing di seluruh negara, Nancy berkata, pihaknya mengadakan makmal mencakupi pakar daripada pelbagai latar belakang dalam merangka penyelesaian segera dan menyeluruh terhadap isu pertembungan pengusaha teksi, Uber dan Grabcar.

Katanya, penganjuran makmal itu akhirnya membawa kepada pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.

"Sabah mempunyai lebih banyak pengusaha teksi, merangkumi syarikat tempatan yang segelintirnya menggunakan kenderaan berusia hampir 20 tahun.

"Tetapi ini (penggunaan kenderaan berusia hampir 20 tahun) tidak berlaku dalam e-hailing," katanya.

Berita Harian X