Jumaat, 23 March 2018 | 10:02pm
GAMBAR fail, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria (dua, kiri) bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif (dua, kanan), Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin (kiri) dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjun di pekarangan Istana Kehakiman sebelum majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2015. - Foto BERNAMA

Laporan NTP: Usaha kekang rasuah berkesan

KUALA LUMPUR: Negara mencapai 100 peratus petunjuk prestasi utama (KPI) dalam usaha melaksanakan penguatkuasaan dan pematuhan mengurangkan rasuah secara berterusan, tahun lalu.

Mengikut Laporan Tahunan 2017 Program Transformasi Negara (NTP), ia meliputi memperkukuh Rangka Undang-Undang untuk mengekang rasuah.

Seramai 19 Hakim Mahkamah Khas Rasuah dilatih untuk meningkatkan pemahaman secara menyeluruh berhubung peruntukkan undang-undang membabitkan rasuah.

Dengan pelantikan itu, sejumlah 58.9 peratus kes rasuah diselesaikan pada 2017, malah 80.7 peratus daripada jumlah kes yang disiasat sepanjang tahun lalu sudah disabitkan.

Menerusi sesi perbincangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (NCCPF), Rang Undang-undang Pembiayaan Politik turut dirangka.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan komitmen lebih besar dalam usaha mengukuh integriti dalam sistem politik.

Sepanjang tahun lalu, sebanyak 53 syarikat tersenarai awam dan syarikat berkaitan kerajaan diarah menjalani latihan lengkap bagi memberi panduan kepada organisasi untuk menambah baik tadbir urus dalam usaha mencegah rasuah.

Usaha memperkukuhkan kawalan antirasuah sedia ada dan menyokong peruntukan liabiliti korporat turut dilaksanakan melalui penerapan Piawaian ISO 37001 dalam Sistem Pengurusan Antirasuah Malaysia (ABMS-MS-ISO37001).

Sebanyak 223,167 perjanjian integriti membabitkan 8,681 projek bernilai RM13 bilion turut ditandatangani membabitkan komuniti perniagaan dan masyarakat dalam usaha mencegah rasuah.

Bagaimanapun, kedudukan negara dalam Indeks Persepi Rasuah (CPI) 2017 kini berada di tempat ke-62 daripada 176 negara.

Berita Harian X