Ahad, 25 March 2018 | 5:41pm

Penduduk gesa pemohonan maaf

GEORGETOWN: Penduduk di Apartment Mutiara Idaman 2, Jelutong, menggesa permohonan maaf khususnya daripada Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana mengaitkan mereka dengan dakwaan menghasut kanak-kanak membenci kerajaan, minggu lalu.

Timbalan Pengerusi Surau Al Ehsan, Arshad Kassim, berkata tindakan Guan Eng menyanyi dan menari diiringi lagu mengejek dasar Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) di depan kanak-kanak itu disifatkan sebagai terkutuk dan jijik.

Katanya, tindakan itu tidak seharusnya dilakukan Ketua Menteri atau mana-mana pemimpin DAP di negeri ini, selain kejadian itu menyebabkan pelbagai pihak tampil mempersoalkannya.

"Kami kecewa dan malu dengan kejadian yang berlaku di kawasan perumahan ini. Kami membantah sekeras-kerasnya tindakan biadap dan tidak bertanggungjawab Guan Eng ini kerana mengheret kanak-kanak dalam politik.

"Kami juga menggesa program di Pusat Tuisyen Rakyat Pulau Pinang dihentikan serta-merta," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Minggu lalu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan didakwa menghasut kanak-kanak membenci kerajaan pada program pelancaran sebuah Pusat Tuisyen Rakyat Pulau Pinang di Jelutong, di sini.

Dalam video berdurasi 32 saat itu, Guan Eng dilihat cuba menyemai kebencian politik dalam kalangan kanak-kanak dengan menari dan mengejek dasar GST dalam lagu A, B, C sebelum ia viral di laman sosial.

Arshad berkata, penduduk di kawasan perumahan berkenaan didakwa tidak dimaklumkan mengenai penganjuran aktiviti itu dan hanya mengetahui kejadian berkenaan selepas video Guan Eng viral di laman sosial.

"Sebenarnya, kebanyakan kanak-kanak berkenaan bukan tinggal di sini, kebanyakan mereka dibawa menaiki bas hadir program berkenaan," katanya.

Penduduk setempat, Mohd Ibrahim A Siahoo pula mempersoalkan ketulusan kerajaan negeri menganjurkan program berkenaan apabila kanak-kanak di kawasan perumahan itu tidak diberi keutamaan.

"Kenapa pentingkan kanak-kanak dari kawasan perumahan luar? Kami mahu Guan Eng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Swee Khim; Badan Pengurusan Bersama (JMB); persatuan penduduk dan organisasi Penggerak Komuniti Muda (PEKA) memohon maaf secara terbuka," katanya.

Sementara itu, Guan Eng akan dipanggil bagi menjalani proses rakaman percakapan berhubung videonya yang didakwa menghasut kanak-kanak untuk membenci kerajaan, pada minggu depan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik pada sidang media Sambutan Hari Polis Ke-211 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dekat sini, hari ini.

Roslee berkata, rakaman percakapan ke atas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu adalah proses biasa bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kita masih belum memuktamadkan sama ada akan pergi berjumpa beliau atau memanggilnya hadir di lokasi ditetapkan untuk menjalani proses ini.

"Kita juga akan merakam percakapan saksi berkaitan kes ini dan dijangka ia akan diselesaikan secepat mungkin, sebelum kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut," katanya.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

PRESIDEN Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi (dua dari kiri) bersama Timbalan Pengerusi Surau Al- Ehsan, Arshad Kassim (dua dari kanan) semasa sidang media mengenai isu insiden nyanyian lagu 'GST' di Pangsapuri Mutiara Idaman 2 Jelutong, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong
PRESIDEN Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi (dua dari kiri) bersama Timbalan Pengerusi Surau Al- Ehsan, Arshad Kassim (dua dari kanan) semasa sidang media mengenai isu insiden nyanyian lagu 'GST' di Pangsapuri Mutiara Idaman 2 Jelutong, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X